Search This Blog

Wednesday, August 10, 2016

‘Baliklah kakak, umi tak marah...’


WARTAWAN SINAR HARIAN
10 OGOS 2016
‘Baliklah kakak, umi tak marah...’

‘Baliklah kakak, umi tak marah...’ Rohazila menunjukkan gambar anak sulungnya, Che Nur Amylia Syafina yang menghilangkan diri sejak lapan hari lalu.
PASIR MAS - “Umi rindu kakak, pulanglah ke pangkuan kami,” rintih seorang ibu yang merayu anak sulung perempuannya supaya pulang ke rumah selepas menghilangkan diri lapan hari lalu.

Rohazila Ismail, 35, berkata, anaknya, Che Nur Amylia Syafina Che Sahaipul Hafiji, 13, dipercayai hilang selepas pergi ke pasar malam di bandar Pasir Mas.

“Pada hari kejadian Rabu lalu, dia beritahu saya nak singgah di pasar malam dulu sebelum balik ke rumah dari sekolah. Pagi tu saya hantar dia ke sekolah macam biasa... tiada perubahan atau perkara pelik yang berlaku.

“Sampailah pada malamnya, saya tunggu dia balik ke rumah tapi tak muncu-muncul dan saya sangat risau. Saya cuba hubungi telefon bimbit dia, tapi tak dijawab. Lepas tu bila telefon lagi ia dah gagal dihubungi,” katanya yang ditemui di Kampung Pengkalan Batu di sini, semalam.

Menurutnya, anak sulung daripada tiga beradik itu merupakan pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan (SMKP) Pasir Mas.

Katanya, dia dan ahli keluarga yang lain sudah mencari Nur Amylia merata tempat dan turut bertanya kepada kawan-kawan sekolahnya, namun masih gagal menemuinya malah rakan-rakanya juga tidak mengetahui ke mana dia pergi.

“Saya dah buntu dan sangat bimbangkan keselamatannya. Sebagai ibu saya harap sangat kalau ada sesiapa pernah melihat dia dapat hubungi kami dengan segera," katanya penuh berharap.

Rohazila yang kelihatan pilu terus-terusan menyebut nama anak perempuannya itu.

"Baliklah kakak, umi tak marah... Sekarang ni nenek tengah sakit sebab rindukan kakak,” katanya.

Menurutnya, laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas pada Sabtu lalu.

Katanya, orang ramai yang ada atau pernah melihat anaknya itu boleh menghubungi mereka di talian 011-293 11742 dan 017-988 9447.

No comments:

Post a Comment