KUALA LUMPUR - Seorang akauntan wanita maut akibat terperosok di bawah keretanya apabila kenderaan itu mengundur secara tiba-tiba di Salak South Baru di sini pagi tadi.
  
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Shafie Daud berkata, mangsa Goo Guan Yen, 40, meninggal dunia di tempat kejadian kira-kira jam 9.47 pagi.
  
"Hasil siasatan awal mendapati kereta jenis proton Iriz milik mangsa diparkir di tepi jalan bercerun sebelum dia turun untuk menghantar barang yang ditempah pelanggannya.
  
"Setelah mangsa selesai menghantar barang dan menuju semula ke keretanya, tiba-tiba kereta mangsa berundur ke belakang dan mangsa cuba menahan keretanya daripada mengundur, namun mangsa terperosok ke bawah keretanya," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur.
  
Sementara itu Ketua Pusat Pergerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani berkata, pihak bomba yang menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu membantu mengeluarkan mangsa yang terperosok di bawah keretanya. - Bernama