Itu antara kekejaman yang dilakukan terhadap seorang remaja berusia 17 tahun sejak kira-kira enam tahun lalu dipercayai oleh bapa tiri dan ibu kandung sendiri.
Tidak tergamak untuk melihat adiknya terus menanggung ke­saki­tan, abangnya bertindak ‘me­larikan’ mangsa dari rumah tiga hari lalu dan menghantarnya ke Hos­pital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini bagi mendapatkan rawatan.
Ditemui di HSNZ di sini petang ini, remaja berusia 18 tahun itu berkata, dia sudah lama berniat untuk membawa adiknya itu ke­luar dari rumah mereka di Marang namun tidak mempunyai peluang dan keberanian.
“Saya hanya mahu melihat dia hidup sempurna seperti orang lain. Tiada niat untuk menderha­ka. Setelah tinggal menyewa di luar sejak dua bulan lalu, saya akhir­nya berpakat dengan adik dan nekad melarikannya,” dakwanya yang bekerja sebagai buruh.
Menurut remaja itu, adiknya disahkan mengalami jangkitan kuman dan bengkak pada kedua-dua kaki selain dikesan menghidap sakit buah pinggang yang kronik.
Dakwanya, adiknya yang hanya tamat sekolah rendah membantu ibunya berniaga di kedai makan te­lah didera sejak beberapa tahun lalu oleh ayah tirinya, seorang mekanik dengan lebih kasar termasuk memulas kaki kiri adiknya selain turut disimbah air panas oleh ibunya.
“Adik mungkin disifatkan me­reka sebagai nakal seperti balik dalam keadaan kotor selepas bermain menyebabkan dia diperlakukan sebegitu. Saya pernah beberapa kali cuba menahan tetapi saya juga menjadi mangsa,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Wan Abd. Aziz Wan Hamzah dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu kedua-dua suspek yang berusia 34 tahun dan 46 tahun ditahan hari ini.
“Mangsa daripada empat beradik itu memberitahu, dia se­ring dipukul oleh ibu dan ayah tiri menggunakan periuk panas, kayu dan juga besi jek kereta manakala hasil pemeriksaan pihak hospital mengesahkan wujud kesan penderaan dari paras pinggang ke atas,” ujarnya
Susulan itu juga, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Roslee Daud yang menin­jau keadaan mangsa memberita­hu, kerajaan negeri bersama Jaba­tan Kebajikan Masyarakat akan me­ngambil perhatian serius terhadap kes tersebut.