Dalam operasi besar-besaran yang dilancarkan untuk membanteras kegiatan jenayah berat serta aktiviti kongsi gelap yang dipercayai mempunyai kaitan dengan beberapa kejadian tembak yang menjadi perhatian negara baru-baru ini, sebanyak 534 individu yang sebahagian besarnya penjenayah diberkas termasuk 69 ahli kongsi gelap.
Turut dirampas dalam serbuan melibatkan rumah, restoran, pusat beli belah, pusat hiburan dan sekatan jalan raya itu ialah 44 senjata termasuk pistol, parang, pisau serta peluru dan 19 kenderaan.
Penolong Pengarah Jabatan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman, Datuk Roslee Chik berkata, daripada 69 ahli kongsi gelap, 21 daripadanya diberkas di Selangor diikuti Pahang (11) dan Negeri Sembilan (lapan) dan Pulau Pinang (lapan).
Menurutnya, kesemua mereka ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Pertubuhan 1966 dan Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 (POCA) dan Rekod Kesalahan Lampau (RJ10).
“Kesemua mereka dipercayai ahli beberapa pertubuhan kongsi gelap,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Roslee Chik mem­­beritahu, turut ditahan dalam tangkapan keseluruhan Op Cantas 2 ialah dua suspek yang memiliki senjata api untuk siasatan di bawah Akta Senjata Api 1971 dan 95 lagi suspek yang terlibat dalam kes-kes jenayah lain.
Ujarnya, pihaknya juga membuka 102 kertas siasatan yang melibatkan pelbagai kesalahan.
“Operasi ini akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi mengekang kegiatan jenayah dan pertumbuhan ahli kongsi gelap daripada terus berleluasa,” tambahnya.
Pada 28 Julai lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyarankan kepada PDRM supaya melancarkan Op Cantas 2 dalam usaha untuk membendung aktiviti jenayah termasuk beberapa kes tembak sejak kebelakangan ini.
Beliau berkata, peningkatan kes jenayah berat seperti tembak di negara ini tiada kaitan dengan kelemahan undang-undang yang ada sebaliknya perlu membuat beberapa penambahbaikan se­perti pagar sempadan yang memudahkan penyeludupan sen­jata api berlaku.