Search This Blog

Wednesday, August 24, 2016

36 dibunuh setiap hari




SEKUMPULAN penduduk melihat mayat suspek dadah yang ditembak mati dalam operasi polis di Manila, semalam.

Reuters
Manila: Lebih 1,900 orang atau kira-kira 36 orang dibunuh setiap hari dalam kempen ganas memerangi dadah di Filipina sejak Presiden Rodrigo Duterte dilantik tujuh minggu lalu.

Dalam keterangannya kepada jawatankuasa Senat yang menyiasat kes pembuhan tanpa bicara yang semakin menjadi-jadi di negara itu, Ketua Polis Filipina, Pengarah Ronald Dela Rosa berkata, tiada dasar yang diumumkan supaya polis membunuh penagih serta pengedar dadah.

“Kami bukan pembunuh,” katanya.

Menurutnya, daripada jumlah 1,900 yang dibunuh kerana kegiatan dadah, 1,100 kematian masih disiasat.

Bakinya ditembak mati dalam operasi antidadah yang dijalankan polis, kata Dela Rosa.

Siasatan dilancarkan pengkritik paling lantang Duterte, Senator Leila de Lima yang mengarahkan pegawai kanan polis dan antidadah menjelaskan peningkatan jumlah kematian dan laporan pembunuhan oleh orang ramai.

Duterte sebelum ini memberi amaran supaya Senat tidak mengganggu kempennya dan berkata mereka mungkin dibunuh jika menghalang usaha yang disifatkannya bertujuan memulihkan keadaan di negara itu.

Dela Rosa juga memberitahu jawatankuasa berkenaan, hampir 700,000 penagih dan penjual dadah menyerah diri kerana mengelak dibunuh,

Menurutnya, secara keseluruhan jenayah berkurangan, tetapi kes bunuh meningkat sejak kempen memerangi dadah itu dilancarkan.

Jumlah kematian dinyatakan Dela Rosa semalam lebih tinggi berbanding 1,800 yang diberikan pada prosiding yang diadakan kelmarin.

Dia tidak menjelaskan perbezaan itu sebaliknya cuma berkata jumlah berkenaan sudah dikemas kini.

Selain itu, katanya, 300 anggotanya disyaki terbabit dalam sindiket dadah dan memberi amaran mereka akan dipecat dan didakwa jika didapati bersalah.

Media tempatan melaporkan, ada kemungkinan pembunuhan dilakukan polis korup yang mahu mengelak aktiviti mereka terbongkar.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2016 @ 7:17 AM

No comments:

Post a Comment