GEORGETOWN - Seramai 35 warga asing ditahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan di sekitar daerah Timur Laut, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Mior Faridalathrash Wahid berkata, dalam operasi bermula jam 9.30 pagi itu, pihaknya menjalankan pemeriksaan di tiga tapak pembinaan, masing-masing di Jalan Patani, Lebuh Victoria dan Lebuh Farquhar, di sini.

"Dalam operasi itu seramai 210 warga asing dari pelbagai negara diperiksa dan kami menahan 35 lelaki kerana beberapa kesalahan Imigresen.

"Semasa operasi, ada warga asing yang cuba lari dan menyembunyikan diri bagi mengelak ditahan tetapi kami telah mengepung kawasan tapak pembinaan tersebut terlebih dahulu," katanya.

Beliau berkata, mereka yang ditahan berusia 23 hingga 48 tahun itu tidak mempunyai dokumen perjalanan diri, tinggal lebih masa dan menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Mior Faridalathrash berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 17 warga Indonesia, Bangladesh (10), Pakistan (tujuh) dan Myanmar (satu).

Menurutnya, mereka disiasat mengikut Seksyen 6(3) dan Seksyen 15 (4) Akta Imgresen 1959/63 dan Peraturan 39 (b) Peraturan Imgresen 1963.

"Kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk didokumentasi sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Juru bagi siasatan lanjut.

"Operasi bersepadu itu disertai 53 pegawai dan anggota polis dengan kerjasama Jabatan Imigresen Pulau Pinang dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dibantu Sukarelawan Polis Diraja Malaysia. Ia akan diteruskan dari semasa ke semasa dalam usaha membendung kehadiran warga asing tanpa izin," katanya. - Bernama