JOHOR BAHRU – 26 ahli geng kongsi gelap antara 47 individu ditahan dalam serbuan Ops Cantas Khas yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di seluruh Johor Bahru bermula Khamis lalu hingga semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Kamaruzzaman Mamat berkata, 26 individu berkenaan ditangkap di bawa Akta Pertubuhan 1966 hasil pemeriksaan ke atas 45 kenderaan dan dipercayai terbabit dalam beberapa kumpulan kongsi gelap.

"Sembilan daripadanya didapati ahli Geng 04, tujuh Geng 36, lima Geng 21, empat Geng 08 dan seorang Geng 30.

"Kita turut menahan empat individu dikehendaki polis serta dua ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA)," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Kamaruzzaman berkata, operasi itu disertai 144 anggota manakala seramai 419 diperiksa secara keseluruhan di beberapa lokasi dan 47 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan.

"Kesemua yang ditahan berusia antara 16 hingga 47 tahun termasuk tiga warga asing berusia antara 26 tahun.

"Antara kesalahan dilakukan termasuk ugutan jenayah atau khianat di bawah Seksyen 506/427 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 186 KK kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta Seksyen 379 A KK kerana curi kenderaan," katanya.