Search This Blog

Loading...

Saturday, August 20, 2016

100 cedera selepas bergaduh kerana drama India




SATU babak dalam drama berkenaan.

Dhaka: Satu pergaduhan berlaku antara penduduk kampung di timur Bangladesh berkait dengan plot satu siri drama India di televisyen, menyebabkan 100 orang cedera.

Penduduk kampung itu berkumpul di sebuah restoran di daerah Habiganj untuk menonton Kiranmala, drama berbahasa Benggali yang mengisahkan seorang puteri yang menyelamatkan manusia daripada kejahatan apabila pergaduhan meletus.

Polis melepaskan peluru getah dan gas pemedih mata untuk menyuraikan mereka apabila pergaduhan berlarutan hingga ke awal pagi keesokannya. Penonton yang marah merosakkan restoran di kampung Dhol itu dan menyerang satu sama lain dengan kayu dan pisau.

“Pergaduhan bermula apabila dua lelaki bertengkar mengenai episod drama itu. Pertengkaran kemudian merebak menjadi pergaduhan antara dua kumpulan.

“Ketika bergaduh, mereka merosakkan restoran dan menyerang satu sama lain hingga ke pagi,” kata ketua polis tempatan, Yasinul Haque.

Sekurang-kurangnya 100 orang cedera dalam pergaduhan di kampung yang terletak kira-kira 176 kilometer ke timur laut Dhaka itu dengan 15 daripada mereka terpaksa dimasukkan ke hospital.

Sebahagian rakyat Bangladesh menyelar kerajaan di media sosial kerana membenarkan penyiaran saluran televisyen India di negara itu yang menurut mereka menyebarkan budaya permusuhan.

Sebelum ini, tiga wanita muda membunuh diri, dipercayai ada kaitan dengan Kiranmala, selepas ibu bapa mereka enggan membeli pakaian mahal yang dipakai puteri dalam drama itu. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2016 @ 5:02 AM

No comments:

Post a Comment