Search This Blog

Wednesday, August 31, 2016

Pasangan khalwat ditahan bersama anak luar nikah

JENAYAH RABU, 31 OGOS 2016 @ 12:11 PM

 Oleh Nor Farhani Che Ad bhnews@bh.com.my

WANITA bersama anaknya berusia dua tahun sedang disoal siasat dalam operasi membanteras khalwat sempena Ambang Merdeka 2016.

SUNGAI PETANI: Sepasang kekasih yang mempunyai anak luar nikah berusia dua tahun ditahan dalam serbuan sempena sambutan Ambang Merdeka 2016 di sebuah hotel di sini tengah malam tadi. Ketua Penguatkuasaan Agama Daerah Kuala Muda, Sheikh Alwi Othman, berkata pihaknya melakukan pemeriksaan di sebuah hotel selepas mendapat maklumat. Beliau berkata, sebaik tiba di sebuah bilik hotel jam 1.30 malam, seorang lelaki berusia 28 tahun berpakaian lengkap membuka pintu dan ada seorang wanita berusia 34 tahun sedang tidur bersama seorang kanak-kanak perempuan di atas katil. "Pada mulanya, mereka mengaku sudah berkahwin tetapi akhirnya terbongkar selepas mereka gagal menunjukkan dokumen perkahwinan. "Pasangan terbabit juga mengaku kanak-kanak terbabit adalah hasil hubungan mereka sejak lebih dua tahun lalu selepas gagal berkahwin kerana ibu wanita terbabit tidak menyukai pasangannya," katanya Sheikh Alwi berkata, mereka adalah antara empat pasangan berusia antara 17 hingga 34 tahun yang ditahan di hotel berasingan sekitar Sungai Petani. "Semua ditahan disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/188427

Empat kekasih ditahan khalwat



PASANGAN kekasih yang ditahan bersama anak mereka di sebuah hotel di Amanjaya, di sini, semalam. FOTO ihsan pejabat agama

Nor Farhani Che Ad
am@hmetro.com.my


Sungai Petani: Seramai empat pasangan ditahan di hotel berasingan sekitar Sungai Petani membabitkan individu berusia 17 sehingga 34 tahun awal pagi tadi kerana berkhalwat.

Ketua Penguatkuasaan Agama Daerah Kuala Muda, Sheikh Alwi Othman berkata, operasi bermula jam 1.30 pagi tadi diketuai Penguatkuasa Agama Pejabat Agama Daerah, Zaiferi Zainul turut membabitkan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Agama Islam Daerah Yan dan Cawangan Penyiasat Khas (CPK) Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurutnya, dalam operasi yang dijalankan, empat pasangan ditahan di hotel berasingan di kawasan sekitar Sungai Petani membabitkan individu berusia 17 sehingga 34 tahun.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya.

Ketika serbuan itu salah seorang pasangan ditahan di sebuah hotel di Amanjaya turut membawa anak mereka hasil hubungan terlarang.

Pasangan berusia 28 dan 34 tahun itu mendakwa sudah dua tahun menjalinkan hubungan dan memiliki seorang anak perempuan berusia dua tahun.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2016 @ 11:50 AM

Budak perempuan maut, enam parah




FOTO ihsan bomba

Ibrahim Isa
Ibrahim_isa@hmetro.com.my


Muar: Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun maut selepas tercampak hampir tiga meter, manakala enam penumpang lain cedera parah apabila Toyota Avanza dinaiki mereka terbabas di Kilometer (KM) 145.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Bukit Gambir, 8.20 pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Siti Saratul Syawal meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan, manakala enam yang lain masing-masing tiga mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Tangkak dan Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir, Pegawai Bomba Kanan II Musa Kasbullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.26 pagi dan sebuah jentera membabitkan lima anggota bergegas ke lokasi.

"Apabila tiba, kami dapati benar berlaku kemalangan dan kenderaan itu dikatakan dalam perjalanan dari Johor Bahru ke utara.

"Malangnya, apabila tiba di tempat kejadian Toyota Avanza itu hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kanan yang juga pembahagi jalan lebuh raya sebelum terbalik," katanya.

Katanya, didapati kanak-kanak perempuan itu berada kira-kira tiga meter di luar kenderaan berkenaan dan sudah meninggal dunia akibat kecederaan parah.

"Kami terus membantu mangsa lain termasuk mengambil masa 20 minit untuk mengeluarkan kedua-dua kaki seorang wanita dewasa yang di hempap kenderaan itu," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2016 @ 2:37 PM

Cengkerama malam merdeka




ANGGOTA penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) memeriksa sepasang remaja yang disyaki melakukan khalwat dalam Operasi Ambang Merdeka di sebuah hotel bajet di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim

Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


Johor Bahru: Tujuh pasangan termasuk seorang remaja perempuan 17 tahun ditahan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam Ops Ambang di lima hotel bajet sekitar Masai dan Seri Alam di sini, awal pagi tadi.

Dalam operasi bermula jam 12 tengah malam dan berakhir jam 3.30 pagi itu, turut menahan seorang wanita berusia 22 tahun yang cuba melarikan diri bersama pasangannya, sebelum ditinggalkan lelaki berkenaan.

Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa JAINJ, Mohd Hafiz Abdul Rahman berkata, lapan wanita termasuk remaja terbabit serta tujuh lelaki yang ditahan itu berusia antara 17 hingga 48 tahun.

"Antara 15 yang ditahan dua daripada mereka adalah warga Indonesia.

"Seorang pelajar sekolah turut ditahan bersama pasangannya kerana disyaki berkhalwat selepas ditemui dalam sebuah bilik di sebuah hotel di Seri Alam," katanya yang ditemui ketika Ops Ambang, awal pagi tadi.

Beliau berkata, semua ditahan mengikut Seksyen 27(1) a & b Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2016 @ 10:31 AM

Hilang lapan hari




AZMI (kanan) menunjukkan salinan laporan polis berhubung kehilangan anaknya, Nurul Atiqah (kiri). FOTO ihsan Azmi Mohd Tajuddin

Mazizul Dani
mazizul@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Seorang wanita berusia 22 tahun dilaporkan hilang sejak lapan hari lalu.

Dalam kejadian 23 Ogos lalu, Nurul Atiqah Azmi yang bekerja sebagai Pembantu Khidmat Pelanggan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disedari hilang selepas keluarga gagal menghubunginya.

Bapanya, Azmi Mohd Tajuddin, 49, berkata, pada hari kejadian, dia menghantar anak keduanya itu di stesen bas berdekatan hotel di Klang, Selangor untuk ke tempat kerja di KLIA.

"Pada 5.23 petang hari sama, anak saya menghantar pesanan ringkas mengatakan akan pulang pada 27 Ogos sebaik habis bertugas pada 26 Ogos.

"Tetapi pada hari yang sepatutnya dia habis bekerja itu, isteri saya, Noraini Haromi, 43, gagal menghubungi Nurul Atiqah dan telefonnya seakan-akan dimatikan," kata Azmi ketika dihubungi Harian Metro.

Azmi berkata, ketika dia menghantar anaknya ke stesen bas, anaknya itu memakai pakaian uniform kakitangan KLIA berwarna putih.

Nurul Atiqah katanya hanya membawa sehelai selimut di dalam beg kerana sudah menjadi kebiasaannya menumpang tidur di surau KLIA untuk menyambung tugas pada hari berikutnya.

"Pada 27 Ogos lalu, saya ke KLIA untuk mencarinya dan bertanya kawan-kawan sekerjanya tetapi diberitahu yang Nurul Atiqah tidak hadir bekerja sejak 23 Ogos.

"Jadi saya membuat laporan polis di Balai Polis KLIA kerana bimbang sekiranya terjadi apa-apa kepada anak saya," katanya.

Azmi berkata Nurul Atiqah juga tidak mempunyai masalah dengan keluarga dan kelihatan ceria seperti biasa sebelum kehilangannya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Nurul Atiqah boleh hubungi Azmi di talian, 018-9526773 atau isterinya, Noraini, 013-2807915.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2016 @ 3:28 PM

Teman lelaki antara empat suspek bunuh




MOHD Yusoff Mamat. FOTO Muhammad Sulaiman

MAYAT ditemui di dalam beg. FOTO Muhammad Sulaiman

LOKASI mayat ditemui. FOTO Muhammad Sulaiman

Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


Klang: Empat individu ditahan bagi membantu siasatan kes mayat wanita di dalam beg di sungai di Jalan Harper, Bandar Baru Klang di sini, 25 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata, semua suspek berusia lingkungan 20-an termasuk teman lelaki mangsa dan seorang wanita itu diberkas pihaknya di sekitar Kuala Lumpur, Ahad lalu dan kelmarin.

"Berdasarkan hasil siasatan dan risikan, kita pada awalnya menahan seorang suspek yang membawa kepada tangkapan tiga lagi suspek termasuk dalang kejadian bunuh itu.

"Semua suspek yang didapati positif dadah itu direman seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya di sini, hari ini.

Menurut beliau, identiti mangsa sudah disahkan waris keluarga sebagai ibu tunggal beranak lima berusia 36 tahun.

Kata Mohd Yusoff, motif awal kes itu dipercayai akibat cemburu dan pengaruh dadah namun siasatan lanjut sedang dijalankan sebelum dirujuk untuk proses pendakwaan.

Berita berkaitan:

• Wanita dibunuh, disumbat, dihanyutkan
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2016 @ 1:34 PM

Sindiket curi aset TM tumpas





Oleh NORLIDA AKMAR IDROS

Mohd. NASHIR (empat dari kanan ) bersama Noor Lela (dua dari kiri) menunjukkan gambar Shahmizal (Kenit) dan peralatan MSAN milik TM yang berjaya dirampas pada sidang akhbar di IPK Kedah, Alor Setar semalam.

ALOR SETAR – Polis Kedah berjaya melumpuhkan satu sindiket mencuri peralatan Multi-Service Access Node (MSAN) milik Telekom Malaysia Bhd. (TM) sejak April lalu apabila menahan empat lelaki dalam beberapa serbuan di Sungai Petani dekat sini baru-baru ini.

Dalam serbuan Ops Cantas Telco/TM itu, polis berjaya merampas lebih 40 peralatan MSAN dan 20 modem daripada sebuah premis perniagaan barang lusuh di Kawasan Perindustrian Ringan Angsana, Su­ngai Petani.

Peralatan MSAN yang berharga antara RM1,000 hingga RM2,000 setiap satu itu berfungsi untuk menerima panggilan telefon, video dan internet.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nashir Ya memberitahu, empat suspek berusia lingku­ngan 20-an hingga 40-an berasal dari negeri ini ditahan di beberapa lokasi di Sungai Petani pada 26 Ogos hingga 28 Ogos lalu.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0831&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz4ItlbmX65
Hakcipta terpelihara 

Datuk tertembak cucu sendiri disangka kera






Inilah senapang patah yang digunakan seorang datuk ketika tertembak cucunya sendiri di Kampung Mawai, Kota Tinggi dekat Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Seorang cucu cedera parah selepas datuknya tertembak kanak-kanak berusia 10 tahun itu dengan senapang patah yang di­sangka seekor kera dalam kejadian di sebuah kebun dekat Kampung Mawai, Kota Tinggi dekat di sini semalam.

Insiden yang berlaku pada pukul 9.10 pagi itu, ketika pengadu yang juga warga emas berusia 79 tahun berkenaan berada di kebunnya untuk membuat pemantauan dengan membawa senjata api miliknya.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, ketika kejadian datuk mang­sa telah ternampak satu objek yang bergerak yang disangka seekor kera.

“Ekoran itu, datuk mangsa telah melepaskan satu das tembakan menggunakan peluru penabur dan sebaik tembakan dilepaskan pengadu terdengar suara menjerit kesakitan.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.





Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0831&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz4ItlIXtdF
Hakcipta terpelihara 

4 beranak maut dalam nahas





Oleh AZZMAN ABDUL JAMAL

KEADAAN Honda Stream (kanan) dinaiki lima sekeluarga selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 405 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Lembah Beringin, Hulu Selangor semalam.

HULU SELANGOR – Perjalanan pulang lima beranak dari bercuti di kampung mereka di Taiping, Perak, berakhir dengan tragedi apabila empat daripada mereka terkorban selepas terbabit dalam satu kemalangan ngeri melibatkan empat kenderaan di Kilometer 405, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Lembah Beringin dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.20 pagi itu, mangsa yang merupakan seorang anggota polis marin bertugas di Jeti Pelabuhan Melaka, Koperal Ahmad Faizal Abdul Rahim bersama isteri, Nur Fazilah Mad Zani, masing-masing berusia 33 tahun serta anak sulung dan bongsu mereka, Nur Aimi Nadirah, 8, dan Ahmad Fakhri Naim, 3, disahkan maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada kepala dan badan.

Kejadian dipercayai bermula apabila Ahmad Faizal yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stream dari arah Tanjung Malim menghala ke Lembah Beringin hilang kawalan lalu terbabas melanggar pembahagi jalan menyebabkan kesemua ahli keluarganya itu tercampak keluar kira-kira 20 hingga 80 meter dari MPV tersebut.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0831&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz4ItktOqsK
Hakcipta terpelihara 

Maut terhumban dari jejambat






KEADAAN Mohd. Zulhilmi selepas terhumban ke bawah jejambat apabila motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya terbabas di Lebuh Raya Kemuning-Shah Alam kelmarin.

SHAH ALAM – Seorang jurutera maut apabila motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya terbabas sebelum terhumban ke bawah jejambat dalam satu kejadian di Lebuh Raya Kemu­ning-Shah Alam di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, mangsa, Mohd. Zulhilmi Zakaria, 37, me­ngalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan selepas terhumban kira-kira 10 meter dari jejambat berkenaan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, kejadian itu berlaku apabila mangsa gagal mengawal motosikal jenis BMW GS1200 ketika melalui satu selekoh di atas jejambat di LKSA berdekatan susur keluar ke Kuala Lumpur.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.





Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0831&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz4ItkQPrAL
Hakcipta terpelihara 

Mati disyaki didera kakak, abang ipar






Oleh EZZUAN AHMAD

Norida (kanan) ketika menghadiri majlis pengebumian Nudzirah di Tanah Perkuburan Islam Paka, Dungun kelmarin.

DUNGUN – Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun tujuh bulan meninggal dunia dengan keadaan badan dipenuhi parut dan lebam disyaki menjadi mangsa dera kakak kandung dan abang iparnya dalam kejadian di Paka di sini kelmarin.

Nudzirah Nur Safiah Sabarudin yang meninggal dunia pada pukul 12 tengah hari mempunyai banyak kesan parut, lebam dan luka di kepala, dahi, bibir dan kaki.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacob berkata, kejadian itu terbongkar selepas mayat Nudzirah dihantar ke Klinik Kesihatan Paka di sini oleh pasangan suami isteri pada pukul 3.45 petang.

“Pasangan itu mendakwa adik bongsu daripada lapan beradik itu meninggal dunia pada pukul 12 tengah hari.

“Pegawai perubatan yang memeriksa mayat mangsa menemui banyak kesan parut dan luka di kepala, dahi, bibir dan kaki telah membuat laporan polis selepas mengesyaki mangsa mati akibat didera,” kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0831&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz4ItjGFLUE
Hakcipta terpelihara 

Terjun dari tingkat 32




Mayat ibu dan anak yang ditemui di koridor tingkat satu kondominium di Kiara Residence 2, Bukit Jalil, petang tadi. FOTO Norizuan Shamsuddin

Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Dua beranak ditemui mati selepas dipercayai terjun dari tingkat 32 kondominium di Kiara Residence 2, Bukit Jalil, di sini, petang tadi.

Mayat wanita berusia 23 tahun bersama anak lelakinya berusia 3 tahun itu ditemui oleh penghuni kondominium berkenaan pada 2 petang dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di koridor tingkat satu.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata, pihaknya menerima panggilan awam memaklumkan kejadian pada 2.20 petang.

"Siasatan dilakukan mendapati wanita dan kanak-kanak itu sudah meninggal dunia akibat kecederaan di kepala, badan dan kaki.

"Pemeriksaan dilakukan turut menemui telefon bimbit mangsa di tingkat 32 iaitu tingkat yang paling atas kondominium berkenaan," katanya menerusi kenyataan media.

Menurut Chong, pihaknya turut mengambil keterangan daripada suami wanita berkenaan yang bekerja sebagai ejen hartanah sambilan.

Katanya, ketika kejadian suami wanita terbabit berada di rumahnya di tingkat sembilan kondominium berkenaan.

"Difahamkan, wanita terbabit memaklumkan kepada suaminya mahu keluar untuk membuang sampah bersama anaknya. Bagaimanapun, dia terdengar bunyi benda jatuh dari arah tingkap rumahnya dan keluar sebelum melihat mayat isteri dan anaknya.

"Difahamkan isterinya kerap kemurungan dan pernah mendapatkan rawatan psikiatri sekitar Mei atau Jun lalu.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan mayat dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk dibedah siasat," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2016 @ 7:47 PM

Pasangan kembar dakwa dirogol bapa kandung


ASSIM HASSAN  |  31 Ogos 2016 12:37 AM

KOTA KINABALU 30 Ogos – Satu pasangan kembar remaja perempuan membuat laporan polis selepas mendakwa dirogol dan dicabul oleh bapa kandung mereka beberapa kali dengan kali terakhir di rumah mereka di Perumahan Pegawai Kanan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom, baru-baru ini.
Mangsa yang berusia 14 tahun itu nekad datang ke bandar raya ini yang jaraknya 168 kilometer dari Tenom kelmarin untuk membuat laporan tersebut di Balai Polis Karamunsing di sini.
Sumber berkata, berdasarkan laporan polis yang dibuat, mangsa mendakwa dirogol oleh suspek pada Jumaat lalu antara pukul 2 hingga 3 petang di rumah mereka manakala adik kembarnya dicabul.
Tambah sumber, mangsa diugut supaya tidak melaporkan kejadian itu kepada ibu mereka, selain diugut akan dibunuh.
Difahamkan, suspek yang merupakan pegawai kanan di IPD Tenom melakukan perbuatan tidak bermoral itu lebih dari 10 kali iaitu sejak mangsa berusia tujuh tahun.
Difahamkan juga, suspek mempunyai dua isteri dan mang­sa merupakan anak bersama isteri pertama yang mempunyai tiga anak manakala isteri kedua mempunyai empat anak.
Menurut sumber, mangsa telah menceritakan kejadian itu kepada abangnya sebelum memaklumkan kepada ibu mereka dan me­larikan diri ke Kota Kinabalu, kelmarin.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan laporan polis tersebut dan me­minta orang ramai memberi ruang kepada pihaknya menjalankan siasatan menyeluruh.
Kata beliau, pihaknya akan merakam percakapan mangsa dan saksi selain menunggu laporan perubatan.
“Kita tidak melindungi mana-mana pegawai yang melakukan salah laku dan akan menahan suspek jika terdapat keperluan bagi membantu siasatan.
“Saya harap masyarakat tidak mudah menjatuhi hukuman serta tidak menyebarkan berita tersebut di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/pasangan-kembar-dakwa-dirogol-bapa-kandung-1.376765#sthash.F4L9UXl8.dpuf

Budak perempuan 
maut dipercayai didera


EZZUAN AHMAD  |  31 Ogos 2016 1:10 AM
Nudzirah Nur safiah Sabaruddin bersama ibunya.


Nudzirah Nur safiah Sabaruddin bersama ibunya.
DUNGUN 30 Ogos - Luka di bibir, kepala bahagian kiri masih berbalut, kesan parut dan lebam di seluruh badan.
Itu keadaan mayat Nudzirah Nur Safiah Sabaruddin, 2, yang meninggal dunia di Paka dekat sini semalam dipercayai didera oleh ahli keluarga sendiri.
Arwah dikejarkan ke Klinik Kesihatan Paka pukul 3.45 petang oleh kakak dan abang iparnya namun disahkan telah meninggal dunia beberapa jam yang lalu.
Dia dikatakan ditinggalkan oleh ibu bapanya di bawah jagaan pasa­ngan itu selepas Aidilfitri lalu kerana mereka bekerja di Kuala Lumpur.
Ketua Polis daerah, Superintenden Ahmad Zailani Yaacob berkata, pasangan yang menjaga kanak-kanak berkenaan mendakwa mangsa sudah meninggal dunia pada pukul 12 tengah hari.
Menurutnya, hasil pemeriksaan oleh pegawai perubatan terhadap tubuh mangsa mendapati banyak kesan mencurigakan.
“Keseluruhan badan kanak-kanak malang itu mempunyai ba­nyak kesan parut dan luka lama di belakang kaki kiri, lebam di dahi, luka di bibir dan luka di kepala bahagian kiri yang masih berbalut.
“Berikutan itu, satu laporan polis telah dibuat oleh pegawai perubatan berkenaan, namun punca kematian belum diketahui. Bedah siasat dilakukan hari ini dan kita masih me­nunggu keputusan pihak hospital,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ahmad Zailani berkata, susulan kejadian itu, kakak dan abang ipar mangsa yang tinggal di Tebing Tembah Paka telah ditahan di hadapan bilik unit forensik Hospital Dungun malam tadi.
“Pasangan suami isteri yang kedua-duanya berusia 21 tahun te­lah dibawa ke Mahkamah Majistret Kemaman dan mendapat perintah tahanan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan.
“Kakak mangsa difahamkan tidak bekerja manakala suaminya bertugas sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat tempatan,” ujar beliau.
Tambah Ahmad Zailani, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/budak-perempuan-8232-maut-dipercayai-didera-1.376811#sthash.GEnTLgMr.dpuf

Penipuan 'African Scam' rekod kerugian lebih RM2 juta di Melaka - Polis


31 Ogos 2016 8:03 PM

MELAKA, 31 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 78 kes kes penipuan 'African Scam' dan 'Love Scam' melalui laman sosial Facebook direkodkan di Melaka di antara Januari hingga Julai tahun ini, yang mencatatkan kerugian lebih RM2 juta.
Ketua Polis Melaka, Datuk Ramli Din berkata, jumlah kes penipuan itu meningkat berbanding 50 kes dalam tempoh sama tahun lepas.
RAMLI DIN
RAMLI DIN

Beliau berkata kes terbaharu melibatkan seorang surirumah berusia 43 tahun yang kerugian RM721,000 pada 11 Ogos lepas dan seorang pensyarah kolej berusia 43 tahun dengan kerugian RM402,000 pada 12 Ogos lepas.
"Modus operandi sindiket itu adalah berkenalan dengan mangsa melalui Facebook sebelum memperdaya mereka untuk mendapatkan wang. Sasaran sindiket adalah wanita kesunyian.
"Kita nasihatkan golongan wanita supaya lebih berhati-hati semasa berkenalan dengan lelaki di Facebook dan jangan sewenang-wenangnya memberi mereka wang," katanya pada sidang berita di Ibu Pejabat Polis Kontijen Melaka, Bukit Beruang di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, ahli sindiket itu dipercayai berasal dari benua Afrika dan siasatan awal mendapati mereka menggunakan akaun bank mangsa terdahulu untuk menipu mangsa baharu.
Tambah beliau, dalam kes surirumah itu, anggota sindiket memperdaya mangsa dengan memperkenalkan diri sebagai ahli perniagaan yang menghadapi masalah kewangan dan mengajak mangsa melabur dalam perniagaannya.
Beliau berkata, pensyarah kolej itu pula terpengaruh dengan kata-kata manis anggota sindiket yang berjanji memberikan hadiah mewah kepadanya. - BERNAMA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/penipuan-african-scam-rekod-kerugian-lebih-rm2-juta-di-melaka-polis-1.376956#sthash.yXsfo6Fo.dpuf

Wanita dipercayai mati dipukul teman lelaki


01 September 2016 12:29 AM

KLANG 31 Ogos – Mayat seorang wanita yang ditemukan di dalam sebuah beg pakaian pada Khamis lalu dipercayai mati akibat dipukul oleh teman lelakinya sebelum diikat dengan kain cadar lalu diha­nyutkan ke dalam sungai.
Difahamkan, wanita berusia 36 tahun itu dibunuh di sebuah rumah di Meru oleh suspek kira-kira 10 hari sebelum mayatnya dijumpai oleh seorang pekerja pembersihan di tepi sungai di Jalan Harper, Bandar Baru Klang.
Siasatan polis mendapati ibu tunggal yang mempunyai lima anak berumur antara setahun hingga 17 tahun itu dipercayai sering didera suspek berusia 29 tahun itu berdasarkan kecederaan teruk pada badan dan kakinya.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd. Yusoff Mamat berkata, satu keluarga telah tampil memaklumkan wujud persamaan pada ciri-ciri fizikal mangsa dengan salah seorang ahli keluarga mereka.
‘‘Oleh itu, satu pasukan khas ditubuhkan untuk menjalankan siasatan terutama mengesan suspek. Hasil risikan pihak polis telah membawa kepada penahanan suspek bersama dua lelaki dan seorang wanita ber­usia dalam lingkungan 20-an di sekitar ibu negara pada Ahad dan Isnin lalu,’’ katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Mohd. Yusoff berkata, keempat-empat suspek yang ditahan disahkan positif dadah dan direman selama seminggu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
‘‘Hasil pemeriksaan juga mendapati teman lelaki mangsa turut terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah bersama suspek lain. Selain itu, dia juga turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dera dan dadah,’’ katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai tarikh sebenar pembunuhan itu, beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku dalam tempoh 10 hari sebelum mayat ditemukan oleh pekerja pembersihan pada 25 Ogos lalu.
‘‘Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di sebuah rumah di Meru sebelum suspek membawa mayat mangsa ke ibu negara untuk dibuang ke sungai namun dihanyutkan semula ke Klang.
‘‘Motif awal kejadian dipercayai akibat cemburu dan pe­ngaruh dadah. Empat anak mangsa kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat manakala seorang lagi dalam jagaan keluarga mangsa,’’ katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/wanita-dipercayai-mati-dipukul-teman-lelaki-1.377167#sthash.GHuAazIE.dpuf

Polis tangkap tedung selar



SAIFUDIN menunjukkan ular tedung selar yang ditangkapnya. FOTO ihsan Polis

Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@hmetro.com.my


Tanah Merah: Ular tedung selar sepanjang 3.6 meter ditangkap oleh dua anggota polis di Jalan Kubang Gali di sini, hari ini.

Ular berkenaan berada di tepi jalan dan disedari oleh orang ramai yang cuba menangkapnya.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, dua anggotanya dari cawangan unit kereta peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah sedang membuat rondaan dan melihat orang ramai berada di lokasi kejadian, 9 pagi tadi.

Katanya, anggotanya iaitu Sarjan Hilmi dan Koperal Saifudin Mohamad turun untuk membuat pemeriksaan dan mendapati seekor ular besar berada di lokasi berdekatan.

"Dengan menggunakan kepakaran yang ada, dua anggota polis itu cuba menangkap ular berkenaan dengan menggunakan tangan.

"Mereka mengambil masa setengah jam dan menangkap ular terbabit sebelum menyerahkannya kepada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2016 @ 7:06 PM

Ajal basikal dirempuh kereta




Basikal mangsa yang dirempuh kereta. FOTO ihsan PDRM

Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


Georgetown: Remaja lelaki maut selepas basikal ditunggang dirempuh kereta di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 12.10 tengah malam itu, mangsa, Khairul Ziman Mohd Idris, 15, meninggal dunia selepas enam jam menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, mangsa bersama beberapa rakan dalam perjalanan pulang dari Padang Kota Lama selepas menyambut ambang Merdeka.

"Mangsa yang menunggang basikal di bahagian belakang dipercayai dirempuh kereta dan pemandunya melarikan diri.

"Setakat ini polis masih mengesan pemandu kereta terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2016 @ 10:35 PM

Jerman siasat 64 suspek pelampau dalam angkatan bersenjata

RABU, 31 OGOS 2016 @ 11:14 PM

BERLIN: Agensi perisikan tentera Jerman kini menyiasat 64 suspek "pelampau Islam" yang bekerja untuk angkatan bersenjata negara itu, kata seorang jurucakap Kementerian Pertahanan hari ini.

Jurucakap itu berkata, 64 itu mungkin termasuk orang awam serta kakitangan berpakaian seragam.

 Individu yang dilabel "pelampau Islam" dilarang bekerja untuk tentera. Antara tahun 2007 dan 2016, seramai 30 "pelampau Islam" pergi ke Syria atau Iraq selepas diambil bekerja dalam pasukan bersenjata, kata jurucakap itu.


Seramai 19 orang dikeluarkan daripada tentera kerana menjadi "pelampau Islam" dalam tempoh itu. Jerman merasa resah dengan rentetan serangan ganas ke atas orang awam, dua daripadanya didakwa dilakukan militan IS.

Agensi itu ketika ini hanya membenarkan melakukan pemeriksaan ke atas individu yang sudah bekerja dalam angkatan bersenjata.

Kabinet hari ini meluluskan cadangan mengubah undang-undang bagi membolehkan pemeriksaan seperti itu dilakukan ke atas pemohon.

Akhbar Welt am Sonntag Ahad lalu berkata, satu deraf dokumen menjustifikasi perubahan itu berkata, ada petunjuk pelampau Islam cuba menyelusup ke dalam tentera untuk mendapatkan latihan. Jerman memiliki 250,000 anggota bersenjata. - Reuters

ANGGOTA tentera Jerman. - Foto Reuters  
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/188620

Penyanyi rap ugut bunuh ratu cantik ditahan


WARTAWAN SINAR HARIAN
31 OGOS 2016
Penyanyi rap ugut bunuh ratu cantik ditahan

Penyanyi rap ugut bunuh ratu cantik ditahan Chris Brown (kanan) dan Baylee Curran
CALIFORNIA - AMERIKA SYARIKAT. Artis rap Amerika Syarikat, Chris Brown ditahan polis selepas didakwa mengugut untuk membunuh seorang ratu cantik menggunakan senjata api, semalam.

Menurut laporan Dailymail, bekas Miss California 2015, Baylee Curran mendakwa Chris mengacukan sepucuk pistol ke kepalanya.

Polis kemudian mengepung kediaman Chris di Los Angeles tetapi terpaksa menunggu 11 jam untuk waran tangkap dan geledah.

Selepas menyoal siasat enam kawan Chris yang berada dalam kediaman tersebut, Chris kemudian dibawa ke balai polis untuk direman.

Chris berhadapan hukuman penjara empat tahun dan denda sekiranya didapati bersalah atas dakwaan tersebut.

Chris juga dituduh membuang sebungkus beg plastik berisi senjata api dan dadah sebelum ditahan.

Artis rap tersebut sebelum ini mencipta kontroversi selepas melakukan kekerasan melampau terhadap bekas teman wanita dan juga penyanyi, Rihanna.

Ditangkap selepas rogol, bunuh 11 wanita


31 OGOS 2016
Ditangkap selepas rogol, bunuh 11 wanita

Ditangkap selepas rogol, bunuh 11 wanita Pembunuh bersiri yang digelar ‘Jack The Ripper’ China akhirnya ditangkap pihak berkuasa pada awal minggu ini.
GANSU - LANZHOU. Pembunuh bersiri yang digelar ‘Jack The Ripper’ China akhirnya ditangkap pihak berkuasa di Wilayah Baiyin, pada awal minggu ini.

Memetik laporan portal antarabangsa, Shanghaiist.com, suspek yang mempunyai dua anak perempuan diberkas polis ketika di pasaraya bersama isterinya.

Gao Chengyong, 52,  mengaku telah merogol dan membunuh 11 wanita di antara 1988 hingga 2002.

Polis berkata, sasaran Chengyong merupakan wanita muda berpakaian merah dan tinggal sendirian sebagai mangsa.

Dia akan mengekori mangsa ke rumah mereka dan akan merogol sebelum membunuh mangsa-mangsanya.

Difahamkan, untuk memastikan dia memperoleh gelaran ‘Jack The Ripper’, Chengyong akan mengelar leher mangsa, mencerai dan mencacatkan anggota tubuhnya.

Chengyong turut dikatakan menceraikan kemaluan daripada tubuh mangsa.

Pembunuhan yang dilakukan Chengyong menakutkan wanita tempatan.

Memetik laporan itu lagi, mangsa paling muda yang dirogol dan dibunuh Chengyong berusia lapan tahun.

Tahun berganti tahun, kes-kes tersebut akhirnya ditutup setelah polis tidak menemui sebarang bukti untuk melakukan tangkapan.

Namun pada awal tahun ini, polis akhirnya membuat keputusan untuk membuat kembali kes tersebut setelah China membangunkan teknologi baharu yang boleh mengesan dan membandingkan sel DNA yang terdapat pada mangsa dari kes-kes sebelumnya.

Jenayah Chengyong akhirnya dikesan polis apabila polis mengesan DNA milik Chengyong daripada saudaranya yang secara kebetulan ditahan polis akibat kesalahan kecil.

Remaja tidak bermaya ditembak 16 kali




‘Pembunuhan’ remaja kulit hitam Laquan McDonald, 17, pada 2014 menyemarakkan lagi kesangsian terhadap polis Amerika berikutan banyak kes kekasaran polis terhadap penduduk kulit hitam. - Foto Agensi

Agensi
Chicago: Ketua polis Chicago Superintendan Eddie Johnson mencadangkan kepada Lembaga Chicago supaya anggota polis Jason Van Dyke yang dengan sengaja menembak mati remaja kulit hitam Laquan McDonald, 17, pada 2014, dipecat bersama empat lagi anggota.

Van Dyke yang melepaskan 16 tembakan dalam kejadian itu, kini ditahan dipenjara menunggu perbicaraan tuduhan membunuh. Empat lagi anggota, Sarjan Stephen Franko, Janet Mondragon, Daphne Sebastian dan Ricardo Viramontes menghadapi tuduhan membuat laporan palsu bagi menutup kejadian itu.

Kejadian tembakan itu menggemparkan Amerika Syarikat dan mencetuskan bantahan besar-besaran selepas rakan video kamera papan pemuka kereta disiarkan setahun selepas kejadian, memaksa Datuk Bandar Rahm Emanuel memecat Superintendan Garry McCarthy sebagai ketua polis Chicago.

Rakaman video itu menunjukkan Van Dyke terus melepaskan tembakan ke arah McDonald dari jarak dekat yang ketika itu sudah terbaring di atas jalan selepas tembakan pertama. Van Dyke dan anggota polis lain menegaskan kononnya mangsa cuba menerpa ke arah polis dengan bersenjatakan pisau.

Keluarga remaja itu menerima ganti rugi AS$5 juta daripada kerajaan pada 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2016 @ 6:13 PM

Tuesday, August 30, 2016

'Raja dadah' Filipina mati ditembak


AFP  |  30 Ogos 2016 7:27 PM
RAJA dadah Filipina, Melvin Odicta (kiri) dan isteri, Meriam yang

RAJA dadah Filipina, Melvin Odicta (kiri) dan isteri, Meriam yang ditembak mati awal pagi semalam.-AGENSI
MANILA 30 Ogos - Seorang ahli perniagaan yang digelar ‘raja dadah’ Filipina ditembak mati bersama isterinya awal pagi semalam, kata pihak berkuasa negara itu hari ini.
Menurut polis, Melvin Odicta, yang juga dikenali sebagai ‘Dragon’ dan isterinya, Meriam ditembak di pelabuhan Aklan, tengah Filipina selepas turun daripada feri.
Ketua polis wilayah, Jose Gentiles memberitahu, penembak yang dipercayai berseorangan itu masih belum dikenal pasti, namun, turut dikaitkan dengan aktiviti pengedaran dadah. - AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/raja-dadah-filipina-mati-ditembak-1.376634#sthash.7YUxzLne.dpuf

Cucu cedera ditembak disangka kera

JENAYAH SELASA, 30 OGOS 2016 @ 10:15 PM

 Oleh S Anand Kumaran and@bh.com.my

KANAK-kanak yang cedera akibat terkena tembakan kerana disangka kera dalam kejadian di sebuah kebun di Kampung Mawai Baru, Mawai, Kota Tinggi dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut. Gambar kanan, senjata api yang dirampas polis. - Foto Ihsan Polis Johor

KOTA TINGGI: Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun cedera terkena tembakan yang dilepaskan datuknya selepas disangka kera, di Kampung Mawai Baru, dekat sini, hari ini.

 Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman, berkata kejadian jam 9.10 pagi itu berlaku di sebuah dusun buah-buahan.  Katanya, ketika kejadian warga tua berusia 79 tahun itu masuk ke dusun dengan membawa senjata api miliknya.

 "Pada masa itu, warga tua berkenaan ternampak satu objek yang sedang bergerak lalu menyangkakan ia seekor kera sebelum melepaskan satu das tembakan menggunakan peluru penabur.

 "Sebaik tembakan dilepaskan warga tua itu terdengar suara menjerit dalam kesakitan sebelum mendapati objek berkenaan adalah cucunya sendiri," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.  Rahmat berkata, dengan bantuan ahli keluarga yang lain, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), dekat sini.

 "Mangsa kini dalam keadaan stabil dan sedang menjalani rawatan," katanya.  Katanya, polis merampas senjata api yang digunakan dan suspek juga ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/188232

Ibu enam anak curi makanan kena jel sehari

SELASA, 30 OGOS 2016 @ 11:08 PM

 Oleh Nurul Fhatihah Zakinan fhatihah@bh.com.my


ANGGOTA polis mengiringi Chin Mien Lu keluar dari Mahkamah Majistret Ayer Keroh selepas dihukum penjara sehari, denda RM400 dan kerja khidmat masyarakat dua jam sehari selama dua bulan. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber


 AYER KEROH: Seorang ibu enam anak dihukum penjara sehari, denda RM400 dan kerja khidmat masyarakat dua jam sehari selama dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, selepas mengaku salah mencuri barang makanan dan tidak memiliki kad pengenalan, Mei lalu. Chin Mien Lu, 34, dari Telok Mas membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohd Asri Abd Rahman Sidik sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat curang mencuri barangan makanan bernilai RM185.49 di pasar raya AEON Bandaraya Melaka di sini, kira-kira jam 7.20 malam, 5 Mei lalu. Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa gagal menunjukkan kad pengenalan diri dan bagi kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 25(1) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Faiezad Razali yang bertindak selaku peguam 'pro bono' (percuma) merayu hukuman diringankan dengan alasan tertuduh mempunyai enam anak yang masih bersekolah dan barangan yang dicuri disebabkan kesempitan wang.

 Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa, Inspektor Nazif Ezra Abdul Rahman memohon mahkamah memberi hukuman berbentuk pengajaran kepada tertuduh demi kepentingan masyarakat.


 Mohd Asri menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM400 serta diarah menjalani kerja khidmat masyarakat selama dua jam sehari bagi tempoh dua bulan di bawah seliaan Jabatan Penjara dan jika ingkar, hukuman asal akan dijatuhkan terhadap tertuduh bagi pertuduhan kedua.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/188246

Trauma dirogol, adegan dirakam


WARTAWAN SINAR HARIAN
30 OGOS 2016
Ibrahim Sharif

Ibrahim Sharif
REMBAU – Seorang mahasiswa yang sedang mengikuti pengajian Ijazah Kedoktoran (PhD) di salah sebuah universiti awam di negara ini trauma apabila dirogol oleh kenalan lelakinya yang baru dikenali melalui aplikasi sosial, SweetRing kira-kira sebulan lalu.

Dalam kejadian Khamis lalu itu, mangsa berusia awal 30-an berjaya melarikan diri daripada kenalan durjananya selepas dirogol apabila lelaki itu singgah di salah sebuah stesen minyak di Senawang sebelum mangsa memberikan alasan untuk ke tandas.

Sumber berkata, mangsa sebelum ini hanya berhubung dengan lelaki terbabit melalui aplikasi berkenaan dan dua minggu selepas berkenalan, mereka bertukar-tukar nombor telefon serta berjanji untuk bertemu.

Menurutnya, mereka berjanji berjumpa di salah sebuah tol dan mangsa telah meletakkan kenderaannya di tol berkenaan sebelum menaiki kenderaan suspek jenis Perodua Viva.

"Mangsa dibawa ke sebuah kolej di Melaka memandangkan kenalannya itu mahu mengambil barangan penting.

"Sesudah suspek mengambil barangan berkenaan, mangsa memohon suspek segera menghantarnya pulang namun lelaki itu mulai berubah sikap menjadi bengis.

"Suspek juga menyatakan terpaksa menukar kereta di Seremban sebelum menghantar mangsa pulang kerana kereta berkenaan mengalami masalah suhu naik," katanya.

Sumber berkata, mangsa semakin bimbang dan takut apabila dia dibawa melalui kawasan terpencil dan dikelilingi kelapa sawit.

"Suspek menyuruh mangsa memeluknya, namun mangsa enggan dan suspek mula bertindak ganas dengan memaksa mangsa memuaskan nafsunya.

"Lebih malang lagi, lelaki itu bertindak jahat dengan merakam adegan berkenaan. Sesudah itu, suspek meneruskan perjalanan bagi menghantar mangsa dan singgah di salah sebuah stesen minyak di Senawang," katanya.

Menurut sumber, mangsa telah meminta pertolongan daripada kakitangan stesen minyak yang kebetulan berada di dalam tandas.

"Mangsa yang menetap di Selangor segera menyelamatkan diri dengan menyorok di kaunter stesen minyak berkenaan dan meminta bantuan polis.

"Suspek beredar dari stesen minyak berkenaan, namun datang kembali serta meletakkan beg tangan mangsa di kaunter stesen minyak berkenaan.

"Mangsa kemudian memeriksa beg tangannya dan mendapati telefon bimbitnya jenis Iphone 6, seutas rantai berserta loket berukir namanya dan wang tunai sebanyak RM60 lesap," katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Ibrahim Sharif berkata, mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Pedas, malam Jumaat lalu.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, lokasi kejadian di tepi jalan di sebuah premis di Pedas yang merupakan kedai rakan suspek yang sudah tidak lagi beroperasi.

"Suspek berusia 22 tahun yang beralamat di Rembau sudah ditangkap dan kini ditahan reman," katanya.

Lelaki maut tertimbus




ANGGOTA bomba bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa yang tertimbus. FOTO ihsan bomba

Nadzreen Shah Mat Salim
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Seorang lelaki warga Indonesia maut selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan kondominium di Jalan Segambut Dalam, Taman Segambut, di sini, jam 3.57 petang tadi.

Pegawai Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani berkata, siasatan awal mendapati dua mangsa terperangkap dalam runtuhan itu, namun seorang lelaki berjaya diselamatkan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur selepas mengalami cedera ringan.

Bagaimanapun, seorang lagi mangsa gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia selepas tertimbus sedalam enam meter.

"Punca sebenar runtuhan tanah di tapak pembinaan masih lagi disiasat dan tidak menolak kemungkinan faktor hujan lebat menjadi punca kejadian itu," katanya.

Difahamkan dua mangsa terbabit adalah pekerja di tapak pembinaan itu dan kejadian turut dilaporkan kepada polis untuk siasatan lanjut.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2016 @ 6:04 PM

Jual beli dadah dalam talian


DIANA AZIS  |  30 Ogos 2016 7:37 PM
sering

Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan negeri, Ismail Ahmad Khairi (kanan) bertanyakan sesuatu kepada sepasang suami isteri yang ditahan sewaktu Op Cegah Perdana di Felda Serting Hilir Kompleks, disini hari ini. - UTUSAN/MOHD. IZZUL FARHAN
JEMPOL 30 Ogos - Pengedar dadah di negeri ini dikesan menggunakan transaksi jual beli secara dalam talian bagi mengelak kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.
Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan, Ismail Ahmad Khairi berkata, taktik pengedaran dadah terbaharu itu menyulitkan pihaknya mengesan kegiatan jenayah berkenaan kerana tidak beroperasi secara nyata.
“Siasatan mendapati pengedar mula menggunakan taktik menjual dadah secara ‘online’ (dalam talian) selain turut berkomunikasi menerusi media sosial untuk berurusan dengan penagih.
“Penagih cuma perlu melakukan transaksi pembayaran ke akaun bank secara ‘online’ sebelum ke lokasi dadah ditinggalkan untuk mengambilnya yang diberitahu menggunakan media sosial,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Menurut Ismail, kegiatan itu menyukarkan AADK memperoleh bukti urusan jual beli kerana penagih tidak bersemuka dengan pengedar untuk mendapatkan dadah.
Katanya, kumpulan penagih juga turut menggunakan media sosial untuk berkomunikasi sesama mereka sekali gus menyukarkan usaha memberkas sewaktu operasi dijalankan.
“Apabila seorang penagih ditahan, rakan mereka yang lain akan memaklumkan mengenai kehadiran pihak berkuasa mengunakan media sosial,” katanya.
Sementara itu, seramai 25 individu termasuk sepasang suami isteri dari Felda Serting Hilir Kompleks dekat sini ditahan dalam Op Cegah Perdana hari ini disyaki positif dadah jenis syabu.
“Lelaki berkenaan berumur 37 tahun dan bekerja sebagai pemandu lori manakala isterinya yang berumur 34 tahun merupakan suri rumah.
“Empat orang anak mereka yang berumur antara empat hingga 17 tahun diserahkan kepada nenek mereka dan pasangan berkenaan akan didakwa di mahkamah,” katanya. - UTUSAN ONLINE
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/jual-beli-dadah-dalam-talian-1.376635#sthash.WQgE2P9t.dpuf

Maut kemalangan dalam perjalanan ke tempat kerja


WARTAWAN SINAR HARIAN
30 OGOS 2016
Maut kemalangan dalam perjalanan ke tempat kerja

Keadaan kereta mangsa yang remuk teruk.
KUALA KRAI - Pekerja kilang getah maut kemalangan dalam  perjalanan ke tempat kerja di KM 64 Jalan Kota Bharu, Gua Musang  8 pagi tadi.

Mangsa, Muammar Gaddafi  Rusdi,22, cedera teruk di kepala dan dada meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemandu pacuan empat roda terlibat kemalangan dengan mangsa tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdullah Roning berkata, siasatan awal, lebih kurang  8 pagi,mangsa dari memandu kereta jenis Proton Wira dari arah Gua Musang menghala ke Kota Bharu.

"Tiba di KM 64 Jalan Kota Bharu-Gua Musang, kereta dipandu mangsa   hilang kawalan dan masuk laluan bertentangan.

"Kereta dipandu mangsa kemudiannya  melanggar pacuan empat roda,"katanya.

Abdullah berkata,kes disiasat  dibawah Seksyen  41 (1) Akta Pengangkutan Jalan ( APJ) 1987.

Siasatan lanjut kejadian masih diteruskan.

Wang RM100,000 milik Tan Sri dirampas


Punca wang diperoleh masih disiasat
MASZUREEN HADZMAN  |  31 Ogos 2016 1:10 AM
Keratan Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia Ogos 2016 mengenai kes salah guna kuasa dan rasuah RM1


Keratan Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia Ogos 2016 mengenai kes salah guna kuasa dan rasuah RM1
Keratan Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia Ogos 2016 mengenai kes salah guna kuasa dan rasuah RM15 juta melibatkan penerbitan biografi seorang pemimpin negara.
KUALA LUMPUR 30 Ogos - Sejumlah wang tunai ber­nilai lebih RM100,000 ditemukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pejabat dan rumah pengerusi sebuah bank syarikat milik kerajaan bergelar Tan Sri yang ditahan semalam untuk membantu siasatan kes salah guna kuasa melibatkan penerbitan biografi seorang pe­mimpin negara.
Menurut sumber, wang terbabit ditemukan di dalam laci pejabat dan rumah milik suspek selepas siasatan dijalankan terhadapnya.
Ujarnya, siasatan masih dija­lan­kan bagi mengenal pasti punca wang itu diperoleh.
“Selain wang tunai, beberapa jam tangan mewah turut dirampas,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ahad lalu, Mingguan Malaysia mendedahkan SPRM memburu seorang Tan Sri yang menerajui sebuah bank selepas didapati terlibat dalam kes salah guna kuasa dan rasuah bernilai RM15 juta.
Sebelum itu, lapan individu termasuk seorang pengarah urusan bank bergelar Datuk direman bagi membantu siasatan kerana dipercayai terlibat dalam kes sama.
Ditanya perkembangan kese­mua individu terbabit, sumber itu memberitahu, tiga daripada mereka telah dibebaskan.
“Namun tiga individu itu ditahan semula semalam bagi siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 (AMLA),” ujarnya.
Pengarah siasatan SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan mengenai perkara itu.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/wang-rm100-000-milik-tan-sri-dirampas-1.376812#sthash.UwWrNpAF.dpuf

Anggota polis, isteri, 2 anak maut nahas

JENAYAH SELASA, 30 OGOS 2016 @ 10:20 AM

Oleh Nor Azizah Mokhtar bhnews@bh.com.my


ANTARA kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 405 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, awal pagi tadi.


TANJUNG MALIM: Empat mangsa yang terbunuh dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Kilometer 405 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, awal pagi tadi, adalah daripada satu sekeluarga. Mangsa adalah Koperal Ahmad Faizal Abd Rahim dari Pasukan Polis Marin (PPM) Muar dan isteri, Noorfazilah Mat Zani, 33, serta dua anak pasangan itu, Ahmad Fakhri Naim, 3; dan Nur Aimi Nadhirah, 8. Semua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. Seorang lagi anak pasangan itu, Ahmad Faqih Nazmi, 5, cedera dan dihantar ke Hospital Ipoh untuk rawatan. Jenazah empat beranak itu akan dikebumikan di Taman Raja Idris, Pokok Assam, Taiping. Kemalangan jam 1.20 pagi itu membabitkan Honda Stream yang dinaiki mangsa sekeluarga dengan Proton Suprima, Nissan Frontier dan Perodua Axia, selain lori dan treler. Jurucakap bomba berkata, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu dan Tanjung Malim dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan jam 1.27 pagi.


EMPAT beranak yang maut dalam kemalangan di Kilometer 405 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, awal pagi tadi. Dari kiri Koperal Ahmad Faizal Abd Rahim dan isteri, Noorfazilah Mat Zani, 33, serta dua anak mereka, Nur Aimi Nadhirah, 8; dan Ahmad Fakhri Naim, 3. - Foto ihsan pembaca  

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/188058

Cara bapa lepaskan geram




GAMBAR yang dipetik daripada rakaman video menunjukkan Mike merosakkan kereta sport anaknya. FOTO Kaylor Card/Facebook

Agensi
Georgia (Amerika Syarikat): Seorang bapa yang berang apabila menemui anaknya bermadu kasih bersama teman lelakinya di dalam kereta sport Audi A4 miliknya tidak dapat menahan marah hingga dia bertindak ‘menyodok’ kenderaan itu menggunakan jentera penggali.

Dalam video yang dirakam abang remaja perempuan itu, ayah mereka Mike Card dilihat bertindak melepaskan kemarahannya, menyebabkan kereta sport merah itu rosak teruk sehingga langsung tidak menyerupai bentuk asal.

‘Sesi amuk’ itu berlangsung selama dua minit.

Anak lelakinya, Kaylor, pemilik sebenar kereta itu kemudian memuat naik rakaman kejadian di Facebook tanpa menghiraukan kerosakan teruk keretanya yang berharga AS$15,000 (RM61,000), seolah-olah menyokong tindakan bapanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2016 @ 8:16 AM

'Nak tumpang solat konon...'



PASANGAN remaja yang disoal siasat penguat kuasa PAID Hulu Langat dalam operasi dijalankan di sebuah hotel bajet di Jalan Raja Harun, Kajang.

Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my

Kajang: “Betul, saya tidak sentuh dia... Jika tak percaya boleh bawa dia (teman wanitanya) lakukan pemeriksaan di hospital. Saya baru masuk sekejap untuk solat. Memang tak buat apa-apa,” dakwa berulangkali seorang remaja lelaki sejurus ditahan kerana disyaki berkhalwat bersama teman wanitanya.

Dalam kejadian jam 1.45 pagi semalam, pasangan remaja berusia 18 tahun itu ditahan penguat kuasa Pejabat Agama Daerah (PAID) Hulu Langat selepas didapati tinggal berdua-duaan di dalam bilik hotel bajet di Jalan Raja Harun, di sini.

Sumber berkata, pintu bilik diinap pasangan remaja itu terpaksa dibuka menggunakan kunci pendua selepas mereka enggan membuka pintu apabila diketuk berulang kali.

“Sebaik dibuka, remaja lelaki itu didapati memakai baju dalam keadaan terbalik dan duduk di atas katil bersama seorang remaja perempuan.

“Remaja lelaki itu memberi alasan menyewa bilik hotel berkenaan selepas usaha menghantar pulang teman wanitanya ke rumah ibu saudara di Hulu Langat gagal,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2016 @ 8:30 AM

Empat beranak hilang nyawa




KEADAAN kenderaan yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan bomba

Mohamad Azim Fitri Abd Aziz dan Nurul Hidayah Bahaudin
am@hmetro.com.my


Kuala Kubu Baru: Empat beranak maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di kilometer 405 Lebuhraya PLUS arah Selatan, di Lembah Beringin, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi tadi, mangsa yang juga anggota polis berpangkat koperal bersama isteri dan dua anaknya maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R Supramaniam berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan trak pikap model Toyota Hilux serta tiga kereta model Perodua Axia, Proton Suprima dan Honda Stream.

"Empat maut di lokasi kejadian, manakala seorang lagi kanak-kanak dipercayai tercampak daripada kereta dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, punca sebenar kemalangan masih lagi disiasat dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2016 @ 8:36 AM

Monday, August 29, 2016

Kes Seleweng RM15 Juta: Jeneral Bersara Beri Keterangan


Diterbitkan: Isnin, 29 Ogos 2016 3:37 PM

PETALING JAYA: Seorang jeneral bersara yang juga pengerusi sebuah bank berkaitan kerajaan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes penyelewengan melibatkan dana RM15 juta.
Sumber memberitahu The Star bahawa lelaki berusia 65 tahun itu hadir di pejabat SPRM Kuala Lumpur sebelum dibawa ke pejabat SPRM Putrajaya.
"Dia disoal siasat pegawai SPRM di sana.
"SPRM akan memutuskan sama ada tangkapan perlu dilakukan," kata jurucakap SPRM pada Isnin.
Terdahulu, The Star melaporkan individu kedua dari institusi kewangan itu dipanggil SPRM berhubung kontrak penerbitan buku bernilai jutaan ringgit dan projek menaik taraf sistem perbankan tersebut.
Pada Khamis lalu, pengarah urusan bank tersebut berusia 48 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes sama bersama empat yang lain.
SPRM turut menahan seorang lagi lelaki berusia dalam lingkungan 40-an pada Sabtu untuk membantu siasatan kes ini.
Ia membawa kepada penahanan enam suspek setakat ini.
Difahamkan kontrak bernilai RM15 juta diberikan kepada sebuah syarikat penerbitan untuk menghasilkan sebuah biografi berkaitan seorang pemimpin negara.
Antara perjanjian itu adalah penerbit perlu mencetak kira-kira 20,000 salinan penerbitan itu tetapi jumlah yang dicetak jauh lebih rendah.

SOS jadi penyelamat


29 OGOS 2016
SOS jadi penyelamat

 Pasangan Linus dan Sabina Jack berjaya diselamatkan selepas anggota tentera AS terlihat mesej SOS tersebut.
WELLINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Tindakan bijak dua individu yang terkandas selama seminggu di sebuah pulau Pasifik menulis mesej SOS pada pasir di tepi pantai membuahkan hasil selepas mereka akhirnya berjaya diselamatkan.

Semalam, pengawal pantai memaklumkan pasangan terbabit, Linus dan Sabina Jack yang mempunyai bekalan terhad serta tiada peralatan kecemasan itu ditemui di Pulau Timur Fayu di Micronesia oleh tentera Amerika Syarikat (AS).

Kedua-dua mangsa itu dilaporkan menaiki bot sepanjang lima meter dari Pulau Weno di Micronesia pada 17 Ogos lalu sebelum dilaporkan hilang selepas mereka tidak sampai di Pulau Tamatam pada keesokan harinya.

Menurut pihak berkuasa, sebanyak 15 kapal dan dua pesawat digunakan dalam operasi untuk mencari dan menyelamat (SAR) mereka di kawasan berkeluasan hampir 43,000 kilometer persegi.

Difahamkan, pasangan terbabit diselamatkan bot peronda sebelum dibawa ke atol Nomwin. - AFP

10 maut nahas bas di China

ISNIN, 29 OGOS 2016 @ 11:05 AM

SERAMAI 10 orang terbunuh manakala berpuluh-puluh lagi cedera selepas sebuah bas terbalik di lebuh raya. - Foto China daily BEIJING: Seramai 10 orang terbunuh manakala berpuluh-puluh lagi cedera selepas sebuah bas terbalik di lebuh raya, kata pihak berkuasa di selatan China. Menurut kerajaan Wilayah Autonomi Guangxi, kemalangan berlaku semalam apabila bas itu tiba-tiba terbalik ketika menghampiri perhentian akhir di ibu negeri Nanning. Seramai 32 lagi penumpang dalam bas 47 tempat duduk itu cedera, lima daripadanya parah. Pemandu bas adalah antara mangsa yang terbunuh dan punca kemalangan masih disiasat. Menurut pihak berkuasa, pemandu yang keletihan dan kenderaan yang tidak diselenggara dengan betul antara punca biasa terjadinya kemalangan. Guangxi yang bersempadan dengan Vietnam, adalah antara kawasan miskin dan mundur di China. - AP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/187717

Turki benar polis wanita bertudung


29 OGOS 2016
Turki benar polis wanita bertudung

 Polis wanita Turki kini boleh memakai hijab sebagaim sebahagiandaripada mseragam rasmi mereka.
ANKARA - TURKI. Kerajaan Turki buat kali pertamanya membenarkan pegawai polis wanita untuk memakai tudung sebagai sebahagian daripada uniform mereka.

Menurut keputusan yang disiarkan dalam Official Gazette kelmarin, wanita yang berkhidmat dalam pasukan polis kini boleh menutup kepala mereka dengan tudung sama warna seperti pakaian seragam dan tanpa corak di bawah topi atau beret.

Langkah itu akan berkuat kuasa tidak lama lagi, selain bertujuan membantu anggota polis wanita menutup aurat ketika bertugas.

Pada tahun 2010, Ankara menarik balik larangan memakai tudung di kampus universiti dan tiga tahun kemudian, pelajar perempuan di institusi negeri dibenarkan berhijab.

Setahun selepas itu, pelajar sekolah tinggi turut dibenarkan bertudung.

Awal bulan lalu, polis di Scotland turut meluluskan undang-undang sama membenarkan tudung menjadi sebahagian daripada seragam rasmi dalam usaha mewujudkan pelbagai kuasa. - Press TV

5 kumpulan samun dan curi kenderaan tumpas


26 Ogos 2016 1:04 AM

Wari Kiew (empat dari kiri) menunjukkan rangka motosikal yang

Wari Kiew (empat dari kiri) menunjukkan rangka motosikal yang berjaya ditemukan selepas sidang akhbar mengenai kejayaan menumpaskan kumpulan curi motosikal dikenali sebagai Geng Chemumar di Ibu pejabat Polis Daerah Kangar, semalam.
KUALA LUMPUR 25 Ogos – Polis menumpaskan lima kumpulan yang aktif melakukan kegiatan samun dan curi kenderaan di tiga buah negeri dalam beberapa serbuan sejak awal bulan ini sehingga 22 Ogos lalu.
Negeri-negeri terlibat adalah Selangor, Johor dan Perlis.
Di SELANGOR, polis menahan empat ahli Geng Ah Wai berusia lingkungan 30-an yang dipercayai aktif melakukan kegiatan tersebut di sekitar Sri Kembangan dan Serdang sejak dua tahun lalu.
Ketua Polis daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohammad Aminuddin Megat Alias berkata, pihaknya turut merampas barang curi bernilai RM200,000 serta 61 barangan pelbagai jenis dan tiga buah kereta iaitu Perodua Myvi, Nissan Almera dan Fiat Punto.
Di Sepang, sebanyak 12 ahli Geng Mega Kajang berusia lingkungan 31 hingga 46 tahun ditahan di sekitar Kajang, Dengkil, Puchong serta Rompin.
Menurut ketua polis daerah, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali, nilai rampasan dianggarkan RM350,0000 merangkumi tiga jengkaut, satu jentolak, dua lori pengangkut kenderaan berat, tiga kereta, tujuh telefon bimbit dan dua keping cek bernilai RM17,000.
Sementara itu di PERLIS, satu kumpulan curi motosikal yang amat dikehendaki dikenali sebagai Geng Chemumar yang menyasarkan masjid untuk melakukan jenayah itu tumpas ekoran penahanan empat ahlinya, baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Kangar, Superintenden Wari Kiew, kumpulan itu dipercayai aktif sejak tahun 2014 dan telah terbabit mencuri kira-kira 50 buah motosikal membabitkan kerugian lebih RM50,000, khususnya di bandar ini serta Kedah.
Di JOHOR pula, seorang peniaga bundle yang dipercayai memiliki sepucuk pistol jenis Beretta yang dilaporkan hilang oleh sebuah agensi kerajaan pada 2013, ditahan polis di sebuah hotel di Larkin, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, dalam serbuan pada pukul 5.30 pagi itu, polis turut menemukan wang tunai S$12,000 (RM35,640), RM26,000, sebuah telefon bimbit, dua peket lutsinar dipercayai mengandungi dadah jenis syabu seberat 4.46 gram dalam beg galas suspek serta sebuah kereta Mercedes-Benz SLK 200.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/5-kumpulan-samun-dan-curi-kenderaan-tumpas-1.374837#sthash.GwnHJpGY.dpuf

Pelajar alami pendarahan di kepala dipukul senior


30 Ogos 2016 1:22 AM
Muhammad Anas Amir terpaksa menjalani pembedahan di Hospital Sultanah

Muhammad Anas Amir terpaksa menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, semalam. ihsan rakan media
ALOR SETAR 29 Ogos – Seorang bapa melahirkan kebimbangan terhadap masa depan anak lelakinya yang mengalami pendarahan dalam kepala dipercayai dipukul tiga seniornya dalam satu kejadian di sebuah sekolah di Sungai Petani semalam.
Amir Ahmad, 47, berkata, anaknya Muhammad Anas, 14, pelajar tingkatan dua sekolah berkenaan terpaksa menjalani pembedahan membuang darah beku di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) selama dua jam setengah pada pukul 4.30 pagi hari ini dan kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU).
“Saya kini bimbang dengan masa depan anak saya kerana doktor memaklumkan bahawa ada kemungkinan anaknya itu tidak akan kembali normal.
“Saya serahkan siasatan kes ini kepada pihak polis dan berharap pelajar terlibat menerima hukuman setimpal,” katanya ketika ditemui di pekarangan HSB di sini hari ini.
Bercerita tentang kejadian itu, Amir menambah, anak ketiga daripada empat beradik itu mengadu sakit kepala selepas pulang dari sekolah kira-kira pukul 2.30 petang semalam.
“Anas mengadu sakit kepala kepada ibunya, Suriyati Che Said, 47, dan selepas diperiksa terdapat bengkak di bahagian kanan kepalanya.
“Saya kemudiannya terus bawa Anas ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani dan ketika dalam perjalanan ke hospital dia muntah-muntah,” katanya.
Kata Amir, hasil imbasan berkomputer (CT Scan) mendapati berlaku pendarahan dalam kepala mengakibatkan Anas dipindahkan ke HSB untuk menjalani pembedahan membuang darah beku.
Menurutnya, anaknya mendakwa kepalanya ditumbuk dan dihempas ke dinding oleh tiga pelajar lelaki tingkatan tiga yang tidak berpuas hati dengan tindakannya menarik tangan seorang rakan supaya masuk ke dalam kelas seperti diminta guru.
“Seorang pelajar tingkatan tiga yang kebetulan ternampak anak saya menarik tangan adiknya masuk ke dalam kelas bertindak mengajak beberapa rakannya memukul anak saya di dalam kelas tidak lama kemudian,” dakwanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/pelajar-alami-pendarahan-di-kepala-dipukul-senior-1.376465#sthash.JV3wtxJj.dpuf

Sunday, August 28, 2016

Kanak-kanak maut ditikam, tubuh dikerat


27 OGOS 2016
Kanak-kanak maut ditikam, tubuh dikerat


Kanak-kanak maut ditikam, tubuh dikerat Teman lelaki Michelle (kanan) merupakan suspek utama kes tersebut. Vicotria menjadi mangsa pembunuhan kejam.- Foto Facebook
ALBUQUERQUE - NEW MEXICO. Seorang wanita berdepan tuduhan membunuh anaknya yang berusia 10 tahun bersama teman lelakinya selepas polis menemui mayat mangsa dalam keadaan mengerikan dalam sebuah apartmen kediaman mereka.

Mangsa berkenaan, Victoria Martens, ditemui mati beberapa jam sebelum menyambut hari lahirnya yang ke-10 dengan anggota tubuhnya dibungkus dalam selimut.

Ibunya, Michelle Martens, 35, bersama teman lelakinya Fabian Gonzales, 31, dan sepupu lelaki berkenaan, Jessica Kelley, 31, kini berdepan tuduhan selepas dipercayai mendera mangsa sehingga mengakibatkan kematiannya.

Selain daripada itu, Gonzales dan Kelley turut berdepan tuduhan jenayah seks terhadap kanak-kanak malang tersebut, lapor Metro.uk.

Polis memaklumkan bahawa Victoria telah disuntik dengan methamphetamine sebelum diserang secara seksual, dicekik, ditikam dan kemudiannya dikerat oleh suspek berkenaan.

Ketua Polis Albuquerque, Gorden Eden berkata, anggotanya telah pergi ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan berhubung laporan pergaduhan di mana Michelle memaklumkan bahawa anaknya telah dibunuh sebelum polis menemui mayat mangsa tersebut yang dibunuh secara kejam.

“Ini adalah satu tragedi ngeri untuk masyarakat kita.

“Saya ingin memberi jaminan kepada orang ramai bahawa kami akan meneruskan keadilan dan memastikan kita menggunakan setiap sumber dalam penyiasatan ini,” katanya.

Difahamkan, Jessica telah menutup mulut Victoria dengan tangannya dan turut menikam perut mangsa selepas Fabian mencekik kanak-kanak itu.

Selepas itu, Fabian dan Jessica dipercayai telah memotong tubuh Victoria.

SPRM Tahan Pegawai Imigresen Didakwa Rasuah


Diterbitkan: Ahad, 28 Ogos 2016 5:47 PM

Gambar hiasan.

KANGAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai imigresen yang didakwa meminta rasuah RM8,000 daripada seorang kontraktor.

Pengarah SPRM Perlis, Yaacop Angah berkata, pegawai lelaki berusia 30-an itu ditahan Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini dua hari lalu selepas menerima aduan daripada kontraktor itu pada hari sama.

Kontraktor itu dalam aduannya mendakwa pegawai itu meminta suapan sebagai balasan untuk tidak menahan antara 20 hingga 30 pekerja asing di tapak binaan
lencongan banjir Kampung Wai, Kuala Perlis, katanya dalam kenyataan di sini, Ahad.

Yaacop berkata, SPRM turut menahan seorang juruteknik lelaki sebuah kilang di sini juga berusia 30-an yang disyaki terlibat sama meminta suapan itu.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki itu reman tiga hari bermula semalam untuk siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. - Bernama

Dua beradik rentung ditemui berpelukan


Begini keadaan kediaman mangsa yang musnah dalam kebakaran di Batu 27, Jalan Tenom di sini awal pagi semalam.


KENINGAU – Cubaan seorang kakak untuk menyelamatkan adiknya daripada terperangkap dalam kebakaran tidak kesampaian apabila mereka ditemui rentung dalam kebakaran di Batu 27, Jalan Tenom di sini awal pagi semalam.
Dalam kejadian pukul 1 pagi itu, mayat Vanessa Sim Suk Ling, 15, dan Jaslina Sim Suk Fah, 12, ditemui di dalam bilik air rumah mereka yang musnah terbakar seratus peratus.
Difahamkan, kedua-dua beradik itu ditemui dalam keadaan berpelukan selepas kedua-duanya gagal untuk keluar daripada rumah berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Keningau, Mudi Pangiran berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 1.13 pagi mengenai kebakaran yang melibatkan sebuah rumah separuh batu.
Katanya, dua jentera dengan kekuatan 11 anggota dan pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja pemadaman.
“Rumah tersebut musnah seratus peratus dan anggota bomba dimaklumkan terdapat dua mangsa terperangkap ketika kebakaran berlaku,” katanya di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0828&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz4IcDI3yj3 
Hakcipta terpelihara 

Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut kemalangan


AZURA MOHAMAD
28 OGOS 2016
Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut kemalangan

Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut kemalangan
KUALA KRAI - Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Bukit Ah Kim, petang tadi.

Mangsa,Nik Mohd Hafif Abdul Malik, 31,meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah manakala pemandu kereta serta dua penumpang cedera parah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Mohamad Hanif Che Khalid berkata, panggilan kecemasan diterima daripada orang awam memaklumkan kejadian kira-kira jam 6.21 petang.

"Tiba ditempat kejadian, kita dapati penunggang motosikal berkuasa tinggi telah pun meninggal dunia.

"Dua lelaki  serta seorang wanita yang menaiki kereta jenis Suzuki Swift yang cedera parah pula  telah dikeluarkan dari kenderaan," katanya kepada Sinar Harian.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdullah Roning mengesahkan menerima maklumat berhubung kejadian.