Search This Blog

Tuesday, July 5, 2016

Rakyat Malaysia didakwa di Australia kerana seludup 275kg syabu





SYDNEY – Seorang rakyat Malaysia merupakan antara lapan lelaki yang didakwa atas rampasan dadah jenis syabu bernilai A$275 juta (RM823 juta) di Australia, kata pihak berkuasa semalam.

Sejumlah 275 kilogram (kg) syabu dalam bentuk kristal ditemui di bawah lantai sebuah kontena selepas menerima maklumat awam, kata Jabatan Imigresen dan Perlindungan Sempadan.

Siasatan pihak berkuasa membawa kepada penangkapan tujuh warga Australia dan seorang rakyat Malaysia. Semua suspek berusia antara 24 hingga 34 tahun.

“Tiga daripada mereka didakwa atas kesalahan mengimport dadah dan lima yang lain didakwa kerana cuba mengedar syabu dalam kuantiti yang besar,” kata jabatan itu.

Sabit kesalahan, semua tertuduh itu boleh dikenakan hukuman maksimum penjara seumur hidup.

Polis Australia berkata, pihaknya bekerjasama dengan China dalam kes itu.

Tangkapan itu dibuat selepas 14 anggota rangkaian sindiket dadah antarabangsa yang disyaki terdiri daripada lapan rakyat China dan enam warga Malaysia didakwa di Australia pada Mei lalu berhubung rampasan syabu bernilai lebih A$200 juta (RM599 juta).

Australia meningkatkan usaha memerangi peningkatan penggunaan dadah selepas laporan kerajaan mendedahkan negara itu mempunyai perkadaran lebih ramai penagih dadah berban­ding kebanyakan negara lain.

Kajian oleh Suruhanjaya Jenayah Australia pada tahun lalu menunjukkan bahawa pengguna syabu telah meningkat dua kali ganda sejak 2007 kepada lebih 200,000 orang pada 2013.

Ia mendapati bahawa ketika penagih di China membeli syabu pada harga AS$80 (RM319) satu gram tetapi rakyat Austalia membayar AS$500 (RM1,993) untuk kuantiti serupa.

Penolong Pesuruhjaya Polis Victoria, Stephen Fontana berkata, permintaan untuk dadah haram itu semakin tinggi di pasaran Australia sekali gus menyukarkan usaha pihak berkuasa membanterasnya. – AFP



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0705&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz4DTs0LwoK
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment