Ketua Polis negeri, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd. berkata, ketiga-tiga suspek berusia 28 tahun itu disyaki kali terakhir mela­ku­kan jenayah samun bersenjata di sebuah premis di Kota Masai, dekat sini pada pukul 5.20 petang semalam.
Menurutnya, suspek yang menaiki kereta Proton Gen2 berwarna hitam dikesan anggota polis peronda berhampiran Plaza Tol Cahaya Baru, Lebuh Raya Senai-Desaru pada pukul 1 pagi sebelum anggota peronda berkenaan mengejar kenderaan mereka.
“Penahanan tiga suspek itu ber­jaya membantu polis menyelesaikan beberapa kes lain, antaranya tiga kes samun bersenjata dan masing-masing satu kes cubaan samun dan cubaan bunuh.
“Siasatan awal juga mendapati dua daripada tiga suspek me­miliki rekod jenayah berkaitan penyalahgunaan dadah,” kata­nya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam, dekat sini hari ini.
Turut dirampas sepucuk pistol semi automatik beserta 17 butir peluru dipercayai digunakan kumpulan itu untuk melakukan jenayah.
Wan Ahmad Najmuddin yakin masih terdapat saki-baki kumpulan penjenayah berkenaan dan gerakan menjejaki mereka giat dijalankan.
“Saya juga menasihatkan pemilik premis supaya memasang kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar premis masing-masing ke­rana peralatan itu dapat membantu siasatan polis jika berlaku jenayah,” katanya.
Katanya, kes itu disiasat me­ngi­kut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang boleh dijatuhkan hukuman mati jika sabit kesalahan.