Roslan Abd. Wahid
Jumlah tersebut adalah 38 pe­ratus daripada RM56.7 juta kerugian keseluruhan akibat penipuan pelaburan emas yang kononnya berasaskan syariah sejak Januari lalu sehingga semalam.
Angka itu menjadikan lelaki berkenaan sebagai mangsa yang dipercayai paling banyak me­ngalami kerugian selepas ditipu sindiket pelaburan terbabit setakat ini.
Timbalan Pengarah Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Roslan Abd. Wahid berkata, mangsa yang berusia 43 tahun ditipu selepas terpedaya dengan tawaran pembelian jongkong emas dari sebuah syarikat yang beroperasi di Semenyih, Selangor.
Menurut beliau, pada mula­nya mangsa hanya membeli emas dalam kuantiti yang sedikit iaitu kira-kira satu hingga dua kilogram dan apabila pelaburan berjaya memperoleh pulangan dia mula tamak.
“Mangsa yang dijanjikan pulangan pembelian dalam tempoh tiga hari bersetuju mula mengeluarkan sejumlah wang yang ba­nyak bermula dengan RM1.5 juta.
“Berlaku beberapa transaksi lain selepas itu sehingga jumlah pelaburan mangsa mencecah RM21.6 juta bagi pembelian 187 kilogram emas,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Roslan, selepas membuat pelaburan yang besar, mang­sa tidak menerima sebarang pulangan seperti yang dijanjikan namun dia tetap percaya apabila sindiket memintanya menunggu tempoh haul (matang) iaitu selama setahun.
Katanya, mangsa hanya menye­dari ditipu sindiket terbabit apabila masih tidak mendapat pulang selepas tamat tempoh matang dan segera membuat laporan polis pada awal November tahun lalu.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, siasatan yang dilakukan pihaknya mendapati syarikat pelaburan yang menipu mangsa tidak mendapat kelulusan dari Bank Negara dalam penjualan dan pembelian emas.
“Bagaimanapun, kita masih mengesan dalang sindiket yang merupakan pemilik syarikat ber­kenaan yang dipercayai telah menubuhkan syarikat baharu untuk melakukan penipuan sete­rusnya,” katanya.