MUADZAM SHAH - Pasangan suami isteri warga emas maut dalam satu kemalangan apabila kereta Perodua Kancil yang dinaiki bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer (KM) 10 Jalan Ibam – Rompin sekitar jam 6.30 petang, semalam.
Mangsa yang berada di kerusi penumpang dikenali sebagai Aminah Ismail, 67, maut di tempat kejadian manakala pemandu, Abdul Talip Abdul Rahman, 67, disahkan meninggal dunia di Hospital Muadzam Shah.
Dua lagi penumpang yang berada di kerusi belakang yang merupakan cucu kepada kedua mangsa yang maut mengalami cedera parah dan dikenali sebagai Nor Huda Khuzaila Rosman, 15, serta Muhammad Hafiz Abdul Rahman, 8, manakala pemandu pacuan empat roda tidak mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitendan Muhammad Aidil Roneh Abdullah, berkata, siasatan awal mendapati kereta yang dinaiki mangsa dari arah Rompin menghala ke Ibam manakala pacuan empat itu dari arah bertentangan.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati kemalangan berlaku dipercayai kereta yang dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas dan memasuki jalan bertentangan sebelum bertembung dengan pacuan empat roda berkenaan.
“Penumpang kereta kancil itu maut di tempat kejadian akibat cedera parah manakala pemandunya meninggal dunia di Hospital Muadzam Shah. Kedua penumpang belakang pula turut mengalami cedera parah dan dikejarkan ke hospital sama untuk diberi rawatan,” katanya kepada Sinar Harian.
Kedua kenderaan terlibat rosak teruk di bahagian hadapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.