Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, operasi itu akan diadakan sekiranya aktiviti tonto masih dijalankan di beberapa negeri yang telah dikenal pasti.
"Operasi pertama dilakukan di tiga negeri yang menjadi 'serangan' tonto.
"Negeri-negeri lain seperti Johor dan Kedah juga ada, oleh itu kita akan pergi secara berfasa," kata Ismail selepas menyerahkan sijil penghargaan kepada pegawai dan anggota JPJ dan PDRM yang terlibat dengan operasi khas tonto pada bulan lepas yang turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh, di sini hari ini.
Menurut Ismail, operasi terbabit adalah satu kejayaan yang hebat kerana masalah tonto sudah berlaku sejak berpuluh tahun dan kini pihak berkuasa berjaya mengatasi sebahagiannya.
Jelasnya, operasi yang dilakukan itu adalah amaran, justeru pihaknya akan mengambil tindakan keras sekiranya sindiket tonto masih berdegil dan menjalankan kegiatan haram.


Ujarnya lagi, semenjak operasi tersebut dilakukan, laporan berkaitan lori lebih muatan telah berkurangan.


Sementara itu ketika ditanya mengenai empat lagi sindiket tonto yang masih diburu, Mohmad memberitahu, pihaknya percaya sebahagian daripada ahli terbabit berada di dalam negara dan hidup secara ‘mobile’ namun pihaknya tidak menolak kemungkinan bahawa kesemua yang diburu berada di sempadan.


“Mereka mungkin berpindah-pindah dan mungkin berada di sempadan tetapi keluar secara haram.
"Ini kerana kita tidak menerima laporan daripada pihak Imigresen berhubung perjalanan keluar masuk sindiket terbabit dengan cara yang sah,” jelasnya.


Mengulas lanjut, Mohmad menyatakan pihaknya memandang baik kerjasama yang terjalin antara pasukan PDRM dan JPJ tambahan pula mendapat respon positif daripada pelbagai pihak serta masyarakat.

 - UTUSAN ONLINE