Perkara itu didedahkan oleh Penolong Ketua Polis Songkhla, Kol. Chaiwat Nittayavitmol yang berkata, saspek Warawut Muangmin, 25, tidak berpuashati cara tunggangan motosikal oleh Mohd. Nizam dan bertindak menembaknya.
"Motif suspek menembak mangsa adalah kerana motosikal mangsa secara tiba-tiba memotong motosikal dinaikinya bersama rakan, yang menyebabkannya rasa terkejut dan marah dengan kejadian itu telah bertindak melepaskan tembakan terhadap mangsa," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Katanya, Warawut berasal dari Hatyai merupakan penjual alat binaan, ditahan dalam sebuah van disewanya di Jalan Tak-Lampan ketika cuba melarikan diri daripada buruan pihak polis.
Pada 16 Mei lepas, Mohd. Nizam yang berasal daripada Pulau Pinang ditembak mati ketika sedang menunggang motosikal seorang diri ke sebuah hotel di Hatyai kira-kira 3.30 pagi.
Sejurus selepas ditahan, Warawut menurut Chaiwat telah dibawa ke Hatyai untuk soal siasat.
Beliau berkata, sewaktu proses siasatan polis telah bertindak menemu bual beberapa saksi serta melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebelum dapat menahan Warawut.
Chaiwat juga berkata, pihak polis sedang memburu rakan Warawut yang menunggang motosikal bersamanya. - BERNAMA