Search This Blog

Saturday, June 11, 2016

Kilang mi guna logo halal tidak sah kena serbu

JUMAAT, 10 JUN 2016 @ 5:19 PM

Oleh Fairuz Zaidan fairuzaidan@bh.com.my

KETUA Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK negeri, Hamzah Mahadi menunjukkan produk makanan yang menggunakan logo halal tidak sah di sebuah kilang membuat mi dan pembungkusan makanan di Merlimau, Jasin. - Foto BERNAMA

 JASIN: Sebuah kilang membuat mi dan pembungkusan makanan di Merlimau, di sini, pagi tadi diserbu anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Melaka kerana guna logo halal tidak sah.

 Dalam serbuan jam 11.50 pagi, kilang itu yang dipercayai beroperasi lebih 15 tahun, dikesan tidak memperbaharui logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang diluluskan oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sejak November tahun lalu.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK negeri, Hamzah Mahadi, berkata penyalahgunaan logo halal pada produk makanan adalah satu kesalahan serius kerana ia boleh mengelirukan pengguna, terutama umat Islam. "Siasatan awal mendapati, kebenaran logo halal JAKIM kepada syarikat ini hanya untuk tempoh 2014 hingga November 2015.

Bagaimanapun, mereka (syarikat) terus menggunakannya selepas tempoh itu. "Permohonan mereka untuk memperbaharui logo halal JAKIM sebelum ini tidak diluluskan JAIM disebabkan gagal mematuhi standard ditetapkan, termasuk faktor kebersihan penyediaan bahan makanan," katanya ketika ditemui selepas serbuan di kilang itu.

 Hasil serbuan, sebanyak lima produk makanan keluaran syarikat berkenaan, termasuk tepung goreng perisa serba guna, bijiran dan mee suah bernilai kira-kira RM5,000 dirampas KPDNKK.

 Hamzah berkata, selain itu pihaknya turut mengambil beberapa sampel produk makanan untuk diuji, selain menjalankan siasatan lanjut mengenai kelulusan logo halal yang digunakan syarikat terbabit. "Kes disiasat mengikut Seksyen 16(1) Akta Perihal Dagangan 2011," katanya.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/162894

No comments:

Post a Comment