Mohamad Noor Abdul Rani
Pengarahnya, Datuk Mohamad Noor Abdul Rani berkata, de­ngan kekuatan 10 anggota penguat kuasa syariah JAIP dan tiga anggota polis, Mahasan Mat Sa’amah, 37, ditahan di kediaman ibunya di Felda Jengka Tujuh, di sini.
“Mahasan ditahan untuk siasatan terhadap kesalahan penyebaran doktrin palsu di bawah Seksyen 5 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013.
“Susulan daripada penahanan itu, satu perjumpaan diadakan antara Mahasan dengan panel akidah dan syariah JAIP antara pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari, Jumaat lalu di Pejabat Agama Islam Daerah Kuantan.
“Beliau (Mahasan) mengaku merupakan pemim­pin Millah Abraham di Malaysia dan meyakini ajaran yang dipegangnya adalah benar, beliau telah pun dibebaskan de­ngan jaminan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Millah Abraham mempunyai persamaan dengan Kumpulan Pemuda Kahfi atau Ajaran Bina Negara Islam (Ma’had al-Zaytun) yang difatwakan pengharamannya di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang pada 27 Februari 2009 kerana bertentangan dan menyeleweng daripada akidah serta syariat Islam.
Berdasarkan maklumat, ajaran tersebut berasal dari Bogor, Indonesia dan diketuai oleh Ahmad Musadeq yang pernah membawa ajaran sesat Al-Qiyadah pada 2007.
Mohamad Noor berkata, kesimpulan daripada perjum­paan itu, pemimpin Millah Abraham itu banyak menggunakan fahaman sendiri tanpa mempelajari disiplin ilmu untuk membuat tafsiran pada al-Quran.
Katanya, pemim­pin ajaran sesat ber­kenaan juga telah terpengaruh dengan ajaran yang songsang dari Indonesia tempat beliau menuntut ilmu dahulu.
“Justeru diingatkan kepada orang ramai supaya jangan mudah terpengaruh dengan ajaran-ajaran meragukan seumpama itu,” katanya.
Beliau berkata, ajaran sesat itu tidak mempunyai premis tetap di negeri ini dan lokasi yang digunakan adalah di rumah pengikutnya, warung dan restoran.