Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Datuk Yusoff Ayub berkata, daripada jumlah itu, 363 buah kereta dirampas dan disita di negeri ini.
“Pelbagai kaedah digunakan sindiket kereta klon dan kebanyakannya menggunakan pendaftaran kenderaan sedia ada, namun tidak aktif.
“Saya tidak pasti jika ia turut melibatkan orang dalam atau tidak. Bagaimanapun, JPJ sentiasa menambah baik sistem untuk mengurangkan kelemahan sehingga membenarkan pendaftaran kereta klon ini,” katanya selepas me­lancarkan Program Jelajah Amal Ramadan Skuad Muda 1JPJ Negeri Johor 2016, di sini semalam.
Yusoff berkata, orang ramai seharusnya sedar bahawa penjualan kereta klon yang dibeli dengan harga yang murah boleh menimbulkan pelbagai keraguan.
“Kereta klon dijual dengan harga yang begitu murah, contohnya dua kereta Honda yang mempunyai nilai pasaran antara RM70,000 hingga RM80,000 dijual hanya pada harga RM10,000.
“Seharusnya sebagai pengguna yang rasional, mana mungkin kenderaan seperti ini dijual pada harga yang murah meskipun jangka hayat baru berusia lima hingga enam tahun,” katanya.
Yusoff berkata, setiap kenderaan itu perlu didaftarkan selain mengikuti beberapa peraturan pembelian yang ditetapkan.
Justeru, orang awam dinasihatkan supaya lebih berhati-hati selain merujuk kepada pihaknya bagi menyemak status kenderaan dan mengelak daripada ditipu sindiket kenderaan klon.