Abd. Wahid
Abd. Wahid
Itu padah diterima seorang wanita yang tanpa usul periksa menyerahkan ke­semua hasil gadaian tanah ter­sebut untuk mendapatkan hadiah dikirim lelaki ‘Inggeris’ kononnya dari Amerika Syarikat yang dikenalinya melalui Facebook.
Tanpa mengetahui lelaki itu merupakan anggota Sindiket Love Scam yang menyamar, wani­ta berusia 55 tahun dan masih bujang melakukan 19 transaksi pembayaran demi mendapatkan hadiah berupa beruang dan wang tunai AS$1.05 juta (RM4.24 juta).
Wanita itu hanya menyedari di­tipu apabila mendapati ha­diah yang dijanjikan tidak wujud manakala wangnya lebur. Dia kemudian membuat laporan polis di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang kelmarin.
Timbalan Pe­nga­rah Risikan Ope­rasi JSJK Bu­kit Aman, Senior Asisten Komisioner Roslan Abd. Wahid (gambar) ber­kata, wanita itu berkenalan dengan suspek sejak Oktober tahun lalu di laman sosial Facebook dan mula menjalin cinta selepas beberapa bulan tanpa sekalipun bertemu muka.
Menurutnya, pada Disember lalu, suspek yang yakin telah menjerat mangsa memberitahu telah mengirimkan hadiah dan wang AS$1.05 juta kepada mang­sa melalui sebuah syarikat kurier di Kuala Lumpur.
Ujarnya, mangsa yang tidak bekerja dan menampung hidup dengan kekayaan keluarga ba­gai­manapun terpaksa membayar se­jumlah wang yang didakwa sebagai cukai penghantaran kepada syarikat kurier.
“Bagi meyakinkan mangsa, se­orang ahli sindiket yang menya­mar sebagai wakil syarikat kurier telah menghubunginya dan memintanya membuat pembayaran ke dalam satu akaun.
“Tanpa syak dicampur rasa tamak untuk mendapatkan ha­diah wang itu, mangsa sanggup melakukan sebanyak 19 transaksi pembayaran melalui atas talian berjumlah RM1.7 juta bermula Disember lalu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysiadi sini semalam.
Roslan memberitahu, mangsa mula rasa ditipu selepas hadiah yang dijanjikan belum diperoleh dan kekasih Facebooknya pula tiba-tiba menyepi di laman sosial.
Ujarnya, kerana tidak berpuas hati, mangsa pergi ke syarikat kurier tersebut yang terletak di Kuala Lumpur dan terkejut selepas mendapati tiada penghantaran dan bayaran diterima di bawah namanya.
“Mangsa kemudian membuat laporan polis dan gerakan memburu suspek-suspek yang dipercayai berada di negara ini sedang dijalankan.
“Kami berharap dapat menum­pas­kan sindiket berkenaan dalam masa terdekat,” ujarnya.