Ketua Polis Daerah Arau, Supt. Nanda Ma’arof berkata, mereka ditahan di Jalan Ngulang, Datuk Kayaman di sini pada kira-kira pukul 5.15 pagi semalam selepas kereta dinaiki berhenti di tepi jalan selepas dikejar kereta peronda polis sejauh dua kilometer (km).
“Anggota polis yang membuat rondaan rutin mengesan sebuah kereta jenis Nissan Cefiro yang dinaiki dua lelaki Melayu dalam keadaan mencurigakan di hadapan pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jejawi.
“Apabila menyedari kereta mereka diekori PDRM, pemandu berkenaan memecut laju ke arah Jalan Ngulang, namun suspek yang dikejar polis sejauh 2km kemudian mengalah dan berhenti di tepi jalan sebelum ditahan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Arau di sini hari ini.
Katanya, hasil pemeriksaan, PDRM menjumpai daun ketum seberat 300kg yang dibungkus di dalam plastik lutsinar dan diletakkan di dalam but dan tempat duduk belakang kereta.
Menurut beliau, suspek berumur 25 dan 32 tahun itu ditahan reman empat hari mulai semalam untuk siasatan.
Sementara itu, katanya, PDRM sedang mengesan pemilik kereta berkenaan. - BERNAMA