Lelaki yang berusia 20 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas dalam Ops Tapis di hadapan sebuah kedai di kampung tersebut kira-kira pukul 1.30 pagi.
Difahamkan ketika ditahan suspek baru sahaja selesai menyeludup barangan terlarang itu ma­suk ke negara ini dari Thailand.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, ketika serbuan hasil maklumat awam itu dilakukan, lelaki tersebut cuba melarikan diri ke arah sebuah kereta Perodua Myvi apabila menyedari kehadiran polis tetapi dia berjaya ditahan.
‘‘Hasil pemeriksaan di tempat duduk penumpang hadapan kereta ini, kita menemukan satu bungkusan mengandungi sejumlah pil kuda. Jumlah keseluruhan pil kuda yang ditemukan itu sebanyak 18,000 biji.
‘‘Hasil siasatan, kita juga mendapati suspek hidup mewah termasuk mampu membeli sebuah kereta jenis Suzuki Swift bernilai RM60,000 secara tunai melalui hasil kegiatan mengedarkan dadah ini,’’ katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Tambah Ab. Rashid, suspek dipercayai bergiat aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak enam bulan lalu dan ketika ditahan dia baru sahaja mengambil bekalan dari negara jiran untuk diedarkan di negara ini.
‘‘Suspek direman sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, modus operandi sindiket Geng Ke­tereh ini ialah merekrut remaja berusia 18 sehingga 25 tahun untuk menjadi pengedar dadah kecil-kecilan.
‘‘Mereka terjebak mengedar dadah semata-mata untuk hidup senang dengan cara mudah. Siasatan kita mendapati suspek tersebut mengagihkan dadah kepada lima hingga enam remaja lain untuk diedarkan dalam bilangan kecil.
‘‘Pengedar kecil ini tidak perlu mengeluarkan modal, mereka hanya menjual dan mengambil komisyen mungkin RM2 bagi setiap biji pil kuda itu,’’ katanya.
Tambahnya, pihak polis sedang mengesan ketua dan saki-baki anggota geng itu untuk memastikan kegiatan haram mereka dapat dihapuskan sepenuhnya.