Kesemua syarikat tersebut termasuk beberapa yang dikenali ramai dipercayai mengaut keuntu­ngan tersebut dalam tempoh enam bulan sahaja.
Timbalan Pengarah Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Roslan Abd. Wahid berkata, kesemua syarikat terbabit telah menjalankan pelbagai bentuk pelaburan tanpa kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM).
Menurutnya, antara jenis pelaburan yang dikesan dijalankan syarikat-syarikat terbabit ialah pelaburan komoditi, pelaburan emas dan tukaran matawang.
“Setakat ini, kita masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti individu-individu di sebalik syarikat-syarikat berkenaan yang sebahagian besarnya menawarkan pelaburan emas,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Roslan memberitahu, siasatan polis telah mengenal pasti sebanyak 47 ketua pegawai eksekutif (CEO) yang terlibat dalam pelaburan emas dan sedang melakukan siasatan sejauh mana penglibatan mereka.
“Tahun lalu sahaja, kita te­lah menerima 809 laporan berkaitan penipuan membabitkan pelaburan emas ini.
“Daripada jumlah itu, 739 kes telah diambil tindakan dan 70 kes lagi masih dalam siasatan lanjut pihak kami. Bayangkan begitu mudah orang ramai diperdaya oleh mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu, Roslan turut menasihatkan orang ramai supaya berwaspada apabila berurusan dengan syarikat atau individu yang menawarkan apa sahaja bentuk pelaburan dan berhubung dengan pihak polis atau BNM untuk mendapatkan pengesahan.