Search This Blog

Monday, May 9, 2016

Wilayah Alberta Dalam Bahaya, Kebakaran Hutan Sukar Dikawal


Diterbitkan: Isnin, 9 Mei 2016 11:27 AM
Penduduk bergegas ke keluar dari bandar Alberta sebaik mengesan kebakaran semakin marak dan membahayakan nyawa.

FORT MCMURRAY: Amaran dikeluarkan supaya penduduk sekitar kawasan tanah gersang di Wilayah Alberta berjaga-jaga susulan kebakaran hutan yang melanda Kanada kini disifatkan semakin berbahaya dan tidak menentu.
Kerajaan mengisytiharkan darurat di bandar minyak yang mencapai saiz negara Perancis itu.
Menteri Keselamatan Awam, Ralph Goodale berkata, bencana itu semakin sukar dikawal dan penduduk perlu bersedia untuk meninggalkan bandar itu.
"Angin kuat menyebabkan kebakaran semakin marak dan ekstrem,” katanya.
Hampir semua 25,000 penduduk yang masih terperangkap di utara meninggalkan bandar ini sama ada melalui pengangkutan udara atau konvoi di jalan raya.
Sementara itu, Agensi Pengurusan Bencana Alam Alberta pula memaklumkan, kebakaran hutan tersebut menjadi dua kali ganda dalam tempoh sehari, meliputi kawasan seluas 200,000 hektar.
Penduduk Alberta mendapatkan barang keperluan yang disediakan di pusat perpindahan mangsa kebakaran hutan.
Keadaan yang membimbangkan itu berikutan kadar kelembapan yang rendah, suhu hampir mencecah 30 darjah Celsius dan angin kencang selaju 40 kilometer sejam sejak dua bulan lalu.
Bagaimanapun, pihak berkuasa memaklumkan tiada sebarang kematian direkodkan dalam tempoh seminggu berlakunya kebakaran hutan itu.
Hingga kini, lebih 1,400 anggota bomba, 133 helikopter, 200 kelengkapan berat dan lebih 27 pesawat pemadam kebakaran terlibat dalam operasi mengawal kebakaran di 43 kawasan berbeza di wilayah tersebut dengan tujuh daripadanya tidak terkawal. – AFP

No comments:

Post a Comment