Kejadian kira-kira pukul 1 petang itu berlaku ketika mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Mah sedang menunggu kereta sapu untuk pulang ke rumahnya di Kampung Kasar selepas mendapat rawatan di sebuah klinik di sini.
Kak Mah berkata, ketika sedang menunggu, dia didatangi oleh dua lelaki yang tidak dikenali berusia antara 30 hingga 40 tahun.
Menurutnya, salah seorang daripada lelaki tersebut bercerita tentang kelebihan sebutir batu kecil berwarna emas yang tertulis nama Nabi Muhammad SAW kepada rakannya yang berperwatakan seperti ustaz.
“Lelaki itu memberitahu saya dan rakannya yang dikenalkan sebagai Ustaz Ibrahim bahawa batu tersebut mampu menyembuhkan pelbagai penyakit dan boleh dijadikan sebagai pelaris. Dia kemudiannya datang dan menyerahkan batu itu kepada saya sebagai sedekah sebelum bergegas pergi.
“Bagaimanapun Ustaz Ibrahim masih lagi bersama saya ketika itu. Saya bertanya kepada dia apakah pantang larang yang ada pada batu itu.
“Ustaz Ibrahim terus mengajak saya mengejar rakannya untuk mendapatkan penerangan secara lebih mendalam penggunaan dan pantang larang batu tersebut,” katanya, kepada pemberita di sini hari ini.
Kak Mah memberitahu, lelaki itu berkata, antara pantang larang untuk memiliki batu tersebut adalah perlu wuduk serta tidak boleh memakai sebarang barangan perhias­an.
Katanya, menyedari dia memakai cincin, gelang dan rantai, lelaki itu meminta supaya semua barang kemas tersebut ditanggalkan dan dimasukkan ke dalam sampul surat yang diberikan.
“Saya terus menanggalkan dua bentuk cincin, dua utas gelang ta­ngan serta seutas rantai dan dima­sukkan ke dalam sampul surat yang diberikan.
“Lelaki itu kemudiannya memberi sampul surat tersebut kepada saya untuk disimpan sambil berpesan bahawa sampul surat itu hanya boleh dibuka ketika mempunyai wuduk,” katanya.
Dakwanya, selepas itu Ustaz Ibrahim menawarkan diri untuk menghantar mangsa pulang dan meminta dia menunggu di situ untuk mengambil keretanya yang di­letakkan di kawasan berhampiran.
“Saya menunggu di situ lama namun Ustaz Ibrahim tidak muncul dan kemudian mengambil keputusan untuk menaiki kereta sapu pulang ke rumah.
“Sampai sahaja di rumah, saya terus mengambil wuduk kerana tidak sabar untuk membuka sampul surat tersebut.
“Saya amat terkejut apabila sampul itu dibuka yang keluar adalah daun-daun kering, batu-batu kecil serta pasir sahaja dan bukannya barang kemas,” katanya yang telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas di sini.