KUALA LUMPUR – Tiga sekawan ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan samun di sekitar ibu negara.
Ketiga-tiga lelaki berusia 23 hingga 28 tahun ditahan sejak kelmarin dalam dua tangkapan berasingan di Taman Sri Rampai dan Desa Rejang, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, tangkapan pertama kira-kira jam 1 pagi, kelmarin, dibuat susulan laporan polis yang dibuat seorang lelaki Pakistan selepas motosikal miliknya dilarikan suspek.
“Dengan dipandu arah mangsa, polis kemudian menahan dua lelaki di sebuah perhentian bas.
“Pemeriksaan mendapati motosikal yang dinaiki suspek adalah motosikal milik mangsa,” katanya.
Beliau berkata, susulan tangkapan itu, polis kemudian menahan seorang lagi lelaki di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang di Setapak kira-kira jam 2 pagi, semalam.
“Pemeriksaan polis mendapati, dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.