Search This Blog

Loading...

Wednesday, May 11, 2016

Tiga lelaki aktif samun hotel bajet ditahan


10 MEI 2016



Kes jenayah
SHAH ALAM - Tiga lelaki dipercayai suspek samun hotel bajet yang aktif di sekitar Shah Alam sejak awal tahun ini, ditahan dalam dua serbuan berasingan, April lepas.

Ketua Polis Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata suspek yang berumur lingkungan 24 hingga 26 tahun itu diberkas di sekitar daerah itu pada 20 dan 21 April.

"Tangkapan pertama dibuat pada 20 April pada 7 malam, seorang lelaki berumur 26 tahun ditahan...hasil soal siasat, pihak kami kemudian membuat tangkapan susulan terhadap dua lagi rakan suspek berumur 24 dan 25 tahun pada keesokan harinya (21 April)," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata dalam tangkapan itu, polis turut merampas sebilah parang, sejumlah wang tunai, jaket polis, gari dan pelbagai jenis kunci kereta.

"Modus operandi yang digunakan kumpulan ini ialah masuk ke hotel bajet sebagai pelanggan dan kemudian mengugut pekerja di kaunter (hotel) menggunakan parang supaya mereka menyerahkan wang tunai sebelum suspek bertindak melarikan diri.  

"Selain dipercayai terlibat dalam tiga kes samun di Shah Alam, siasatan  menunjukkan mereka turut terlibat dalam dua kes samun di Kuala Langat dan Klang Selatan," katanya.

Berikutan itu, ketiga-tiga suspek direman sehingga Khamis ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

Sementara itu dalam kes berasingan, polis turut menahan seorang lelaki berusia 25 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes curi.

"Suspek ditahan Ahad lepas pada 11.40 malam selepas merempuh sekatan polis sebelum kereta Proton Iswara yang dipandunya terbabas berhampiran stesen minyak di Seksyen 16 di sini.

"Pemeriksaan polis ke atas kenderaannya menemukan beberapa kad pengenalan milik orang lain yang kami percayai daripada kegiatan jenayah suspek," katanya.

Susulan itu, polis kemudian membuat serbuan ke atas sebuah rumah di Taman Maju Jaya, Cheras, pada 9 malam tadi dan turut menemukan barangan lain termasuk wang tunai berjumlah RM15,000 dan beberapa telefon bimbit.

"Siasatan awal menunjukkan suspek terlibat dalam empat kes curi di beberapa hospital termasuk di Nilai, Negeri Sembilan dan dia disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. - Bernama

No comments:

Post a Comment