HULU TERENGGANU - Keadaan gempar seketika di Taman Permint Permata, Kampung Butut, di sini, sehingga ada dalam kalangan penduduk menjerit kerana terkejut menyaksikan kejadian seorang wanita diragut di kawasan perumahan itu, pagi semalam.
Kejadian berlaku pada kira-kira jam 9.30 pagi dan mangsa berusia sekitar 20-an bernasib baik kerana beg tangannya yang diragut berjaya diselamatkan oleh seorang anggota polis wanita.
Anggota polis wanita yang sedang membuat rondaan pada ketika itu sempat menghalang suspek berusia lingkungan 20-an serta difahamkan berasal dari Johor daripada melarikan diri.
Berlaku sedikit pergelutan ketika suspek cuba ditahan, namun dengan seni mempertahankan diri dipelajari, anggota polis wanita itu berjaya menewaskan peragut.
Bagaimanapun, suspek dibebaskan beberapa minit kemudian kerana kejadian itu sebenarnya gimik yang dilakonkan bersempena Pelancaran Taman Angkat Skuad Polis Aman Wanita (Amanita) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu dan ternyata ia menjadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asistan Superitendan Mohd Haki Hasbullah memaklumkan, Taman Permint Permata dipilih daripada 17 taman perumahan di daerah ini sebagai projek perintis program Taman Angkat Amanita IPD Hulu Terengganu.
Katanya, suri rumah adalah kumpulan yang boleh menyalurkan maklumat kepada polis kerana sentiasa berada di rumah dan tahu perkembangan sesama jiran, manakala Skuad Amanita berkeupayaan meraih kepercayaan masyarakat terutama suri rumah dan jiranita.
"Menjelang Ramadan tidak lama lagi kita harap komuniti di sini atau suri rumah dapat ambil langkah keselamatan sewajarnya bagi mengelak berlaku kes jenayah seperti pecah rumah sewaktu solat tarawih.
"Program taman angkat ini diharap sedikit sebanyak dapat beri peluang kepada suri rumah melakukan tindakan perlu bagi mencegah kegiatan jenayah," katanya pada Majlis Pelancaran Taman Angkat Amanita IPD Hulu Terengganu di Taman Permint Permata, di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Pemuda Umno Negeri Terengganu merangkap Ketua Pemuda Umno Bahagian Hulu Terengganu, Johari Abu Bakar.