Dalam serbuan kira-kira pukul 1 pagi itu, sebanyak 104,000 peket rokok dan 2,880 minuman keras yang dipercayai diseludup dari negara jiran bernilai RM1.48 juta dirampas.
Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, semasa serbuan, terdapat sebuah bot pancung di pesisir pantai dan kelihatan sekumpulan orang sedang memunggah kotak dipercayai berisi rokok serta minuman keras ke dalam tiga buah lori.
Menurutnya, menyedari kehadiran polis, kesemua suspek bertindak melarikan diri ke hutan berhampiran dan meninggalkan 10,400 karton rokok dan 2,880 minuman keras pelbagai jenama.
“Kita turut menyita tiga buah lori, sebuah bot empat enjin de­ngan 300 kuasa kuda setiap satu dan sebuah bot mewah Bayliner dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk cukai dianggarkan RM2.6 juta.
“Bot mewah berukuran 12 meter panjang yang dirampas dipercayai digunakan sebagai pengiring bot berisi barangan seludup,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Ujar Khon Chiang, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(b) Akta Kastam, 1967.
“Sepanjang Januari hingga hari ini, sebanyak 14 kes dilaporkan melibatkan rampasan 676,275 bungkus rokok bernilai RM8.32 juta termasuk cukai, 11 buah kenderaan dan lima enjin sangkut. Seramai 14 orang disyaki ahli sindiket berjaya ditahan,” katanya.