Search This Blog

Loading...

Friday, May 6, 2016

Taktik guna kuil proses dadah terbongkar, lima ditahan


06 Mei 2016 1:17 AM
 




IPOH 5 Mei – Taktik lima lelaki menjadikan sebuah kuil yang jarang dikunjungi di tepi Lebuh Raya Ipoh­-Lumut, Jelapang di sini sebagai makmal pemprosesan dadah terbongkar apabila mereka diberkas polis Isnin lalu.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Hasnan Hassan berkata, kuil yang terletak jauh dari jalan utama dan sukar dimasuki itu dijadikan lokasi kegiatan tersebut oleh kumpulan berkenaan sejak sebulan lalu.
Menurutnya, siasatan mendapati kuil tersebut hanya digunakan untuk kerja pemprosesan dadah ketika tiada orang mengunjungi lokasi berkenaan.

“Kesemua suspek berusia antara 19 hingga 46 tahun diberkas di ruang legar utama tempat sembahyang di kuil berkenaan. Ketika tangkapan, kerja memproses dadah sedang dijalankan oleh kumpulan tersebut.
“Ketika serbuan, tiada orang lain berada di dalam kuil tersebut melainkan kelima-lima suspek ini. Kedudukan kuil ini yang jarang digunakan menyebabkan ia dijadikan lokasi untuk kegiatan itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Hasnan memberitahu, dalam serbuan itu, pihaknya merampas dadah jenis methamphetamine seberat empat kilogram, tujuh liter cecair methamphetamine dan pelbagai peralatan untuk memproses dadah.
Ujar beliau, pihaknya turut me­rampas cecair kimia seperti caustic soda, phosphorus red dan aseton serta lima buah motosikal. Kese­mua rampasan tersebut bernilai RM1.14 juta.
“Siasatan mendapati, kesemua suspek yang merupakan penganggur dan bekerja sebagai buruh itu mempunyai rekod kesalahan lampau bersabit kes dadah.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah dan mereka direman sehingga Isnin ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Tambah Hasnan, siasatan mendapati, dadah yang diproses kumpulan itu boleh dibekalkan kepada 40,000 penagih dan diedarkan di sekitar negeri ini.
Katanya, siasatan juga sedang dijalankan bagi mengesan suspek lain dalam kumpulan tersebut.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/taktik-guna-kuil-proses-dadah-terbongkar-lima-ditahan-1.317992#sthash.CDPEjAmM.dpuf

No comments:

Post a Comment