MOHD. KAMARUDIN MD. DIN
Perkara itu terbongkar hasil soal siasat ke atas 11 suspek yang diberkas di empat negeri kerana terlibat menggodam sistem pembayaran kad kredit dua syarikat multimedia gergasi yang didedahkan polis semalam.
Berdasarkan maklumat itu, dipercayai suspek-suspek berkenaan mengaut keuntungan jutaan ringgit selepas menggodam sistem pembayaran kad kredit beberapa lagi syarikat terkemuka menggunakan perisian daripada laman web khas yang boleh dimuat turun secara percuma.
Bagaimanapun, kegiatan licik mereka dipercayai masih belum disedari syarikat-syarikat berkenaan dan menyebabkan tiada laporan polis dibuat.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, pihaknya percaya ada lagi anggota sindiket yang masih bebas meneruskan kegiatan menggodam.
Menurutnya, laman web yang digunakan untuk memuat turun perisian penggodam juga telah dikenal pasti dan dipantau secara berterusan.
Sehubungan itu, beliau meminta semua syarikat yang menjalankan perniagaan dalam talian dan menggunakan perkhidmatan kad kredit yang mengesyaki sistem mereka digodam agar tampil membuat laporan.
“Kita telah menyalurkan maklumat mengenai kegiatan penggodam ini kepada pihak bank yang mengeluarkan kad kredit sebagai langkah pencegahan.
“Kita juga akan berusaha menyekat kegiatan ini daripada terus berleluasa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, polis mendedahkan kegiatan empat sindiket penipuan kad kredit yang begitu licik menceroboh dan memintas sistem pembayaran atas talian dua buah syarikat multimedia terkemuka sehingga menyebabkan kerugian mencecah RM1 juta.
Lebih memeranjatkan, sindiket-sindiket terbabit turut memalsukan maklumat transaksi dari pihak bank kepada syarikat yang menawarkan produk jualan dalam talian ber­kenaan sebelum menerima barangan yang dibeli dengan menggunakan perisian yang boleh dimuat turun dengan mudah di internet.
Namun, taktik itu terbongkar selepas 11 warga tempatan yang dipercayai anggota empat sindiket terbabit diberkas dalam serbuan di Selangor, Pahang, Kelantan dan ibu negara pada 25 April lalu.
Ini merupakan kes penipuan kad kredit pertama melibatkan syarikat multimedia gergasi dengan menggunakan modus operandi baharu iaitu membeli menggunakan kad kredit palsu dan memintas maklumat pembayaran bank menggunakan perisian di internet.
Sebelum ini modus operandi yang digunakan sindiket adalah memproses kad kredit palsu dan membuat pembelian secara terus di kedai-kedai di dalam negeri dan luar negara.