Dalam serbuan bermula kira-kira pukul 4 petang hingga 6 petang itu, STAGG turut menyelamatkan tujuh wanita warga India yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan oleh sindiket pelacuran di kawasan terbabit.
Ketua Penolong Pengarah STAGG, Senior Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, kesemua yang ditahan berusia antara 29 tahun hingga 53 tahun.
Menurut beliau, pihaknya turut merampas 100 kondom, empat kotak cecair pelincir, buku catatan giliran layanan seks, walkie-talkie, telefon bimbit dan wang tunai sebanyak RM3,505.
Ketika serbuan katanya, sebahagian daripada mereka yang ditahan sedang berada dalam bilik disediakan dalam premis rumah kedai yang diubah suai untuk kegiatan tersebut.
“Premis tersebut dipercayai menawarkan perkhidmatan seks dengan harga RM40 ke RM50.
“Kita turut menahan 10 lelaki dan seorang wanita tempatan yang bertindak sebagai penjaga dan pekerja semua premis itu,” katanya di sini.
Tambah Khairi, kes itu disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen dan Seksyen 12 Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM). - UTUSAN ONLINE