KOTA BHARU - Polis Kelantan menumpaskan satu sindiket‎ warga Indonesia yang menyasarkan pelanggan yang baharu mengeluarkan wang di bank, selepas menangkap lima suspek di Kampung Repek, Pasir Mas minggu lalu.
Ketuanya, Datuk Mazlan Lazim berkata, dengan kejayaan itu, pihaknya‎ percaya dapat menyelesaikan 11 kes rompakan membabitkan lapan kes di Kelantan dan masing-masing satu di Johor, Kedah dan Pulau Pinang sejak Disember tahun lalu.
Menurutnya, kegiatan kesemua suspek itu, yang berumur di antara 20 hingga 36 tahun dan berasal dari Batam, terbongkar apabila seorang anggota mereka ditahan selepas merompak seorang tauke lembu yang baharu sahaja mengeluarkan RM150,000 dari sebuah bank di Pasir Mas pada Isnin lalu.
"Berdasarkan modus operandi kumpulan ini, anggota wanita berkenaan akan menyamar sebagai pelanggan bank dan memantau pelanggan lain yang mengeluarkan wang dalam jumlah besar.
"Dia kemudian memaklumkan kepada rakannya yang berada di luar bank sebelum merompak mangsa yang dikenal pasti itu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Kelima-lima suspek itu ditahan selepas kereta dan motosikal yang dinaiki mereka terbabas semasa dikejar mangsa dan penduduk kampung di Kampung Repek, Pasir Mas.
Kesemua suspek direman bermula 25 April hingga 9 Mei ini bagi membantu siasatan.
Terdahulu, Mazlan menyaksikan Majlis Serah Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kelantan daripada SAC Ahmad Taufek Abdullah kepada Asisten Komisioner Mohamad Fakri Che Sulaiman.
Ahmad Taufek dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Komander Pasukan Petugas‎ Khas Jenayah Terancang (STAFOC) di Bukit Aman, Kuala Lumpur.
Hadir sama Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Ab Rashid Ab Wahab.
Dalam perkembangan lain, Mazlan berkata polis menahan lima lelaki berumur di antara 19 hingga 64 tahun dan merampas sepucuk pistol jenis 38, lapan peluru termasuk empat di dalam kelongsong selepas dipercayai terlibat dalam kes tembak di Kampung Padang Demit, Kubang Kerian di sini pada 21 April lalu.
"Siasatan mendapati tembakan dilepaskan suspek akibat dendam. Kesemua mereka direman dari 21 April lalu hingga 3 Mei ini (esok)," katanya.
Sementara itu, beliau berkata kawalan keselamatan diperketatkan lagi bagi membanteras aktiviti penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand di Sungai Golok berikutan paras sungai berkenaan yang semakin cetek. - Bernama