KOTA BHARU - Sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (Pati) kini bertindak lebih agresif termasuk membaling objek berbahaya kepada kenderaan penguat kuasa bagi menggelakkan daripada ditahan.
Dalam kejadian semalam, seorang anggota sindiket dalam sebuah kenderaan jenis Honda Stream yang membawa lapan PATI warga Myanmar bertindak membaling peralatan membaiki kenderaan termasuk spanar ke arah kenderaan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kelantan yang mengejar mereka.
Komander AKSEM Kelantan Mohd Asri Yahya berkata dalam kejadian itu, kenderaan dinaiki empat anggota AKSEM Cawangan Bukit Bunga, Tanah Merah nyaris terbabas akibat dibaling objek berbahaya ketika mengejar kenderaan sindiket yang dilaporkan membawa PATI.
"Dalam kejadian jam 3.50 petang itu, anggota sindiket terbabit akhirnya memberhentikan kenderaan di tepi jalan berdekatan Kampung Kubang Kuar, Pasir Mas sebelum melarikan diri," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mohd Asri berkata pemeriksaan yang dilakukan mendapati lapan Pati warga Myanmar berada dalam kenderaan itu yang dipercayai cuba dibawa ke pangkalan haram di tebing Sungai Golok, iaitu sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan.
Beliau berkata kesemua lima lelaki dan tiga wanita warga Myanmar yang berusia antara 23 dan 55 tahun itu kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Imigresen Kelantan untuk tindakan lanjut.
"Hasil maklumat yang diperoleh, kumpulan Pati itu kemungkinan dari negeri Pantai Barat Semenanjung dan mahu kembali negara mereka.
"Kemungkinan mereka sudah berpakat dengan sindiket untuk membawa mereka ke pangkalan haram di sempadan sebelum menyeberang ke negara jiran," katanya.
Beliau berkata kumpulan Pati itu kemungkinan juga mengambil kesempatan menyeberangi Sungai Golok di kawasan yang paras airnya cetek berikutan fenomena El-Nino ketika ini.
"Sebelum menyeberang sempadan, mereka ini kemungkinan ditempatkan di rumah yang dijadikan transit sementara menunggu waktu yang sesuai menyeberangi sempadan," katanya. - Bernama