TANJUNG KLING - Seorang pemandu van maut selepas kenderaan dipandunya terbabas masuk ke laluan bertentangan, lalu melanggar sebuah lori di Batu 10, Jalan Tangga Batu, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira- kira 9 pagi itu, Ezrie Abu Samah, 36, meninggal dunia akibat tersepit di tempat duduk pemandu dari bahagian perut ke kaki selepas kenderaan dipandunya melanggar bahagian kanan lori SWM Environment.
Mangsa bagaimanapun berjaya dikeluarkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu dalam tempoh 10 minit selepas memotong pintu bahagian pemandu.
Difahamkan, mangsa yang merupakan pemandu van sebuah syarikat katering baru sahaja balik dari menghantar rakan sekerja di Sungai Udang sebelum bertembung lori seberat tiga tan berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Melaka Tengah, Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, ketika kejadian mangsa dikatakan memandu dari arah lampu isyarat Sungai Udang menghala lampu isyarat Bukit Rambai.
“Sebaik sahaja sampai di lokasi, kenderaan mangsa terbabas masuk ke ke laluan bertentangan dan terus melanggar bahagian hadapan lori menyebabkan dia meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mangsa yang maut dibawa ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat sementara dua lelaki warga Bangladesh di dalam lori berkenaan yang cedera ringan turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut,” katanya di sini, semalam.
Menurut Mohd Kamal, kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kedua-dua kenderaan turut dihantar untuk menjalani pemeriksaan di Puspakom.
Sementara itu, seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Amy, 42,  berkata, kemalangan berlaku ketika dia sedang menyapu sampah di dalam rumahnya.
“Tiba-tiba bunyi dentuman kuat. Saya tak keluar sebab tak berani tengok darah dan tinjau dari rumah saja, itu pun saya dah menggigil.
“Suami sempat pergi tengok kejadian depan rumah dan balik ke rumah untuk keluar bekerja tapi dia ada beritahu saya yang muka mangsa hancur, badan tersepit dan bomba terpaksa potong pintu van,” katanya.
Menurutnya, kejadian membabitkan kemalangan maut itu pertama kali berlaku di hadapan rumahnya sepanjang tempoh lebih 40 tahun tinggal di kawasan tersebut.