Ikmal Hisham Abdul Aziz
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebanyak 1,773 individu yang terlibat dengan kegiatan itu telah berjaya ditahan polis sejak 2013 hingga kini.
Katanya, polis telah mengambil langkah proaktif bagi mencegah aktiviti itu yang terlalu meluas sebarannya di media sosial malah masalah ini turut berlaku di negara lain.
“Selain itu, pi­hak polis juga meningkatkan usaha bagi menangkap dan mendakwa individu atau sindiket yang melakukan peni­puan Love Scam dengan melibatkan mereka yang menjadi keldai akaun di mana mereka memberikan akaun untuk memudahkan penjenayah melakukan kegiatan mereka.
“Di samping itu, kita beri amaran dan ingatkan orang perseorangan agar jangan menjadi keldai akaun walaupun dijanjikan habuan yang lumayan oleh penjenayah dan tindakan dibawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) akan diambil ke atas pemilik akaun tersebut,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) di sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini dalam laporannya beberapa kali mendedahkan mengenai kegiatan sindiket Love Scam yang banyak melibatkan lelaki warga Afrika.
Antaranya pada 11 Mac lalu, akhbar ini melaporkan bahawa sebanyak 99 peratus mangsa Love Scam ialah wanita tempatan manakala selebihnya warga Singapura, Viet­nam, Hong Kong, Australia dan Amerika Syarikat yang turut terpedaya dengan sindiket yang ber­operasi di negara ini.
Menurut Ahmad Zahid, selain itu kerjasama juga dilakukan dengan Bank Negara Malaysia untuk memantau akaun-akaun yang disyaki terlibat dengan kegiatan Love Scam itu.
“Kempen-kempen kesedaran ju­ga turut dijalankan bagi memberikan kesedaran kepada masyarakat agar sentiasa teliti dan cermat sebelum membuat sebarang keputusan,” jelasnya.
Ahmad Zahid juga turut mendedahkan kes terbaharu Love Scam yang membabitkan seorang wanita warga Indonesia yang kerugian RM1.4 juta setelah ditipu seorang lelaki setelah dia melayari laman web singlemuslim.com.
“Pertemuan antara wanita Indonesia dan lelaki tersebut sepatutnya berlangsung di Kuala Lumpur dan wanita berkenaan diminta memasukkan wang RM1.4 juta terlebih dahulu.
“Bagaimanapun pertemuan ini tidak berlaku dan wanita tersebut telah membuat satu laporan polis, jadi saya ingin nasihatkan agar jangan jatuh cinta dengan cinta palsu,” jelasnya.
Dalam pada itu, ketika menjawab soalan tambahan daripada Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) sama ada perlu diwujudkan satu unit khas bagi mengatasi sindiket Love Scam itu, Ahmad Zahid memberitahu, unit-unit khas yang ada dalam PDRM seperti Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) mencukupi untuk menangani kegiatan jenayah tersebut.