SERDANG - Polis menahan 10 lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam beberapa kes samun di sekitar daerah ini sejak Ahad hingga Rabu lepas.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohd Aminuddin Megat Alias berkata, kesemua suspek yang ditahan berumur lingkungan 18 hingga 26 tahun.
"Pada Ahad lepas, polis menahan dua lelaki berumur 23 dan 25 tahun di Taman Equine, Seri Kembangan selepas 10 jam menyamun beg dan jam tangan berjenama daripada seorang lelaki di sebuah kafe, di Putra Walk, di sini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Polis turut merampas sebuah motosikal dan sebilah pisau pemotong sayur yang digunakan dalam aktiviti menyamun, katanya.
Megat Mohd Aminuddin berkata dalam satu lagi kejadian Isnin lepas, polis menahan dua lelaki masing-masing berumur 18 tahun selepas mereka menyamun sebuah kedai serbaneka di Taman Kinrara 1, Puchong pada 21 April lalu.
Katanya modus operandi mereka ialah memasuki premis semasa ketiadaan pelanggan di awal pagi.
Pada hari yang sama, polis menahan tiga lelaki berumur 21 hingga 26 tahun di Sungai Besi, tujuh jam selepas mereka menyamun seorang wanita di Taman Sungai Besi Indah, di sini Isnin lalu.
Hasil pemeriksaan di rumah suspek, polis merampas sebilah parang, sebilah pisau dan tiga telefon bimbit selain dua helai baju yang digunakan semasa melakukan samun, katanya.
Megat Mohd Aminuddin berkata, Rabu lepas, polis menahan tiga lelaki di Cheras selepas mereka menyamun RM7,000 daripada seorang lelaki sebelum melarikan sebuah kereta jenis Mazda CX5 di Wisma Alaf Sanjung, Sungai Besi Indah pada 28 April lepas.
Hasil soal siasat, polis menemukan semula kenderaan itu yang diletakkan di kawasan meletak kenderaan di Jalan Kasturi, Cheras. - Bernama