Search This Blog

Wednesday, May 11, 2016

Penjaga kedai komputer didakwa samun wartawan


10 MEI 2016


KUALA LUMPUR - Seorang penjaga kedai komputer mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan samun berkumpulan terhadap seorang wartawan portal, bulan lepas.

K. Rajandran, 40, bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, didakwa melakukan kesalahan itu menggunakan pisau dan merampas seutas rantai emas serta wang tunai RM30 milik wartawan lelaki portal Mobilogic, V. Moganraj, 25, di Jalan Tun Sambathan, Brickfields, di sini, pada 8 pagi, 1 April lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin, namun, Rajandran yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah memberikan jaminan yang minimum kepadanya.

Hakim Azman Mustapha tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana penjamin tidak hadir ke mahkamah dan menetapkan 23 Mei depan untuk sebutan semula kes.  

Di mahkamah sama, seorang penjaga parkir, Muhammad Ariffin Abdullah, 22, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merompak sekeping kad pengenalan, sebuah telefon bimbit jenama Samsung, dua keping kad ATM, seutas jam tangan dan sebentuk cincin emas milik seorang pelayan restoran, Nurmashuda Yahaya, 26, dengan bersenjatakan pisau.

Muhammad Ariffin didakwa melakukan kesalahan itu di lorong pejalan kaki tepi Sungai Kelang arah ke tren Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Jelatek, di sini, pada 6.30 pagi, 21 Oktober tahun lepas. Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu didakwa mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak menetapkan sebarang jaminan terhadap tertuduh kerana penjamin tidak hadir dan menetapkan 20 Mei ini untuk sebutan semula kes. –Bernama

No comments:

Post a Comment