Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, lelaki berusia dalam lingkungan 50-an itu telah menolak anggota polis yang menahannya sebelum melompat keluar melalui tingkap bilik tidur rumahnya itu.
Akibatnya, dia mati serta-merta setelah memgalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan termasuk kepala.
Kejadian itu berlaku secara tiba-tiba ketika rumah itu diperiksa sepasukan anggota polis yang mendapat maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah.
Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata, lelaki itu sebelum itu ditahan di bawah pangsapuri itu apabila kelibatnya yang mencurigakan mendapat perhatian pihak polis.
“Ketika diperiksa di rumahnya di tingkat 15, lelaki itu yang dalam keadaan bergari telah terjun melalui tingkap bilik tanpa sempat ditahan oleh anggota polis.
“Dia ditemukan mati di tingkat bawah pangsapuri itu akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Kor Kadet Ke-46 Kontinjen Pulau Pinang di Jalan Bukit Gambir di sini hari ini.
Abdul Ghafar menambah, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat.
Jelasnya lagi, pemeriksaan lanjut pihak polis menemukan beberapa jenis dadah sintetik seperti syabu, ketamin, Eramin 5 dan juga pil kuda bernilai RM20,000 di dalam rumah itu.
Polis juga ujarnya, menahan seorang wanita warga Thailand yang dipercayai isteri suspek di dalam rumah terbabit.
“Wanita warga asing itu kita tahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE