Search This Blog

Wednesday, May 11, 2016

Pengawal keselamatan didakwa cabul anak tiri


11 MEI 2016


KUALA LUMPUR - Seorang bapa tiri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan mencabul anak tirinya, Januari lalu.

Warga emas berumur 60 tahun itu didakwa telah memeluk dan mencium anak perempuan tirinya berusia 12 tahun dengan maksud hendak mencabul kehormatannya di dalam kereta di hadapan sebuah sekolah di Wangsa Maju antara 6 dan 8 pagi, 28 Januari lepas.

Bagi pertuduhan kedua tertuduh yang merupakan pengawal keselamatan itu didakwa memeluk pinggang dan meraba mangsa dengan maksud hendak mencabul kehormatannya di atas kerusi kayu sebuah rumah di Wangsa Maju pada 1 pagi, 31 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zikri Jaafar menawarkan wang jaminan RM8,000 bagi pertuduhan pertama dan RM10,000 bagi pertuduhan kedua dengan seorang penjamin serta memohon mahkamah menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Peguam Ahmad Zahid Abu Hasim memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan dengan alasan tertuduh perlu menyara empat orang anak.

Majistret Mohd Rehan Mohd Aris membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 14 Jun untuk sebutan semula kes. – Bernama

No comments:

Post a Comment