Kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu turut menyebabkan mangsa, Halimah Isa mengalami kerugian sebanyak RM31,000 apabila barang kemasnya dilarikan suspek yang berusia 30-an.
Semasa kejadian, mangsa dikatakan sedang membawa lembu dan kerbau peliharaannya untuk minum air di sungai di kampung tersebut.
Suspek yang dikatakan mengenali mangsa telah datang menghampirinya untuk meminta rokok daripada wanita itu sebelum memukulnya dengan menggunakan sebatang kayu besar sehingga menyebabkan objek itu patah dua.
Mangsa yang mengalami kecede_raan di kepala dan rusuk kemudian ditinggalkan di tempat kejadian dalam kesakitan selama 11 jam sebelum ditemui oleh penduduk kampung pada pukul 6 petang.
Menurut Halimah, dia turut memberitahu kepada suspek yang dikenali sebagai Budin bahawa tidak ada rokok.
“Tiba-tiba dia pukul saya dengan sebatang kayu besar. Saya tanya kepada Budin kenapa pukul saya tetapi dia terus memukul kepala dan badan selain menyepak di bahagian badan sehingga saya terbaring.
“Saya tidak mampu untuk berbuat apa-apa, dia telah mengambil duit RM1,000, dua utas rantai emas, cincin, subang dan lima urat gelang emas yang saya sorok dalam poket baju dalam.
“Saya bernasib baik kerana ditemukan oleh penduduk kampung yang kebetulan melalui kawasan ini,” katanya ketika ditemui di Hospital Pasir Mas di sini hari ini.
Sementara itu, anak mangsa, Maznah Che Omar, 49, berkata, ibunya yang tinggal bersendirian di rumah memang memelihara empat ekor kerbau dan lima ekor lembu.
“Kebiasaannya, dia bawa lembu dan kerbau untuk minum air di sungai kira-kira satu kilometer dari rumah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ibrahim Saad ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Katanya, polis sedang giat mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun mendatangkan kecederaan.