ALOR SETAR - Seorang gadis sempat meraikan Hari Ibu bersama keluarga sebelum maut tercampak dalam satu kemalangan di Jalan Telok Wanjah, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 12.03 tengah malam itu, mangsa, Lee Yean Thean, 24, dikatakan keluar bersama teman lelakinya sebelum terbabit kemalangan.
Ibu mangsa, Chatherine Mak, 48, berkata, anak sulung daripada empat adik beradik itu keluar bersama mereka untuk makan malam meraikan Hari Ibu yang disambut pada tanggal 8 Mei.
“Selepas habis makan, kami pulang ke rumah di Taman Rajawali Indah, Jalan Langgar, di sini, sebelum kenalan lelaki datang dan menjemput dia keluar semula.
“Lebih kurang jam 10 malam, mereka berdua keluar untuk melihat wayang di sebuah pawagam di Lebuhraya Darulaman, di sini,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
Bagaimanapun katanya, dia menerima panggilan daripada kenalan lelaki anaknya itu kira-kira jam 11 malam memaklumkan anak perempuan maut dalam kemalangan itu.
Chatherine berkata, anak perempuannya bekerja sementara sebagai kakitangan insurans selepas menamatkan pengajian dalam sarjana muda di sebuah universiti di ibu negara, baru-baru ini.
"Saya terkilan memandangkan hasrat anak untuk menghadiri majlis konvokesyen kira-kira dua bulan lagi tidak kesampaian," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, mangsa menaiki kenderaan jenis Honda City dalam perjalanan dari arah Telok Wanjah menuju ke lampu isyarat Tambang Badak sebelum ia hilang kawalan.
Mohd Rozi berkata, mangsa maut selepas kenderaan dinaiki bersama, Hason Lee, 21, terbabas sebelum melanggar besi pembahagi jalan dan memasuki laluan bertentangan.
"Mangsa yang berada di bahagian hadapan kereta tercampak keluar dan maut di lokasi kejadian selepas kenderaan dinaiki berlanggar dengan kenderaan lain.
"Dua lelaki yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Unser turut tercedera kerana tidak dapat mengelak kemalangan itu sebelum dibawa ke Kedah Medical Centre(KMC) untuk rawatan lanjut," katanya.