Search This Blog

Loading...

Sunday, May 15, 2016

Love Scam: Tiga lagi ahli sindiket diberkas


MASZUREEN HADZMAN  |  15 Mei 2016 12:15 AM



KUALA LUMPUR 14 Mei – Walaupun sering diingatkan dengan penipuan sindiket Love Scam, kes-kes sedemikian terus dilaporkan.
Terbaharu, seorang wanita warga China kerugian RM300,000 selepas terpedaya dengan ‘janji manis’ teman lelaki warga British yang dikenali di laman sosial Facebook sejak tahun lalu.
Lebih malang, wanita yang menetap di United Kingdom itu sanggup datang ke Malaysia hanya untuk menemui kekasihnya itu.
Wanita yang tiba di Malaysia pada dua bulan lalu itu, bagaimanapun menyedari dirinya ditipu selepas lelaki tersebut tidak muncul di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menjemputnya.
Sakit hati dan kecewa dengan penipuan itu, mangsa membuat laporan kepada pihak berkuasa negara ini.
Timbalan Pengarah Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Se­nior Asisten Komisioner Roslan Abd. Wahid berkata, bertindak atas maklumat, satu serbuan telah dijalankan di sebuah Kondominium di Bukit Jalil dan menahan tiga lelaki terlibat dengan penipuan itu kelmarin.
Menurut beliau, suspek yang terdiri daripada dua lelaki warga Nigeria dan seorang lelaki warga Cameron diberkas dalam serbuan kira-kira pukul 5 pagi oleh sepasukan polis daripada JSJK.
“Hasil tangkapan tersebut, kita turut merampas tiga komputer riba, beberapa buah telefon bimbit, kad bank serta iPad yang digunakan sindiket untuk menipu mangsa.
“Siasatan lanjut ke atas suspek, kesemua individu terbabit mengaku melakukan kegiatan itu. Bagaimanapun wang mangsa yang mereka tipu telah dihantar ke negara mereka,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Roslan memberitahu, pihaknya kini masih memburu beberapa lagi anggota sindiket yang dipercayai masih bergiat aktif dalam kegiatan tersebut.
“Kesemua yang ditahan berusia antara 26 sehingga 29 tahun itu kini ditahan direman selama seminggu dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan ke­rana menipu,” ujarnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/i-love-scam-i-tiga-lagi-ahli-sindiket-diberkas-1.326105#sthash.UT5BycSt.dpuf

No comments:

Post a Comment