Hujan lebat luar biasa sejak beberapa hari itu turut memaksa lebih 196,000 penduduk meninggalkan kediaman masing-masing.
Ketua Pengarah Pasukan Palang Merah Sri Lanka, Neville Nanayakkara yang menghadiri mesyuarat khas berkaitan bencana itu berkata, korban akibat kejadian tanah runtuh itu mungkin lebih tinggi.
“Ketika mesyuarat, didedahkan bahawa antara 300 hingga 400 mangsa dikhuatiri meninggal dunia dalam kejadian tanah runtuh di Aranayaka,” kata Nanayakkara.
Setakat ini, 35 orang disahkan terkorban dengan 19 mayat terbaharu ditemukan.
Menurut pihak berkuasa, operasi menyelamat kini tertumpu di kawasan Aranayaka, sebuah pekan kecil kira-kira 100 kilometer dari timur laut Colombo, selepas tiga buah perkampungan di wilayah Kegalle ditenggelami banjir.
Sementara itu, sekurang-kurangnya 16 orang terperangkap dalam satu lagi kejadian tanah runtuh di Bulathkopitiya.
Jurucakap tentera, Jayanath Jayaweera berkata, pihaknya telah menemukan 13 mayat di Aranayaka dan tiga lagi di Bulathkopitiya, manakala seramai 150 mangsa yang terselamat di Aranayaka kini ditempatkan di enam buah kem khas.
Kata Jayaweera, khidmat bot dan helikopter juga terpaksa digunakan untuk menyelamatkan lebih 200 mangsa lagi yang terperangkap di bahagian barat daya Puttalam.
Fenomena banjir dan kemarau silih berganti di Sri Lanka ekoran angin monsun selatan antara Mei dan September, manakala angin timur laut pula melanda dari Disember hingga Februari setiap tahun. – REUTERS