Itu ‘keistimewaan’ lebih 10 sin­diket penyeludupan manusia dan pemalsuan pasport yang dikesan sewenang-wenangnya menjadikan kedua-dua lapangan terbang utama negara sebagai pusat transit warga Sri Lanka sebelum berlepas ke negara ketiga.
Hasil siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), kegiatan yang didalangi warga Sri Lanka itu gagal dikesan sebelum ini kerana didakwa mendapat kerjasama daripada segelintir pegawai penguat kuasa tidak bertanggungjawab yang bertugas di dua lapangan terbang berkenaan.
Kesemua sindiket itu memainkan peranan masing-masing antaranya membawa masuk warga Sri Lanka dengan bayaran tinggi sebagai pelancong, mencari pasport Malaysia yang pemiliknya mempunyai wajah seiras, membuat pasport Malaysia palsu dan membuat cop melanjutkan tempoh menduduki palsu.
Menurut sumber, faktor utama kegiatan itu berlaku ialah beri­kutan kemelut ekonomi negara terbabit sehingga menyebabkan mereka meninggalkan negara asal untuk mencari peluang pekerjaan dan kehidupan yang lebih baik.
Berikutan itu ujarnya, cara paling mudah yang dilakukan untuk mereka ke negara-negara ketiga adalah masuk ke negara ini menerusi beberapa sindiket penyeludupan dan pemerdagangan manusia.
Jelasnya, sindiket pertama akan meminta bayaran yang tingi untuk membawa masuk warga Sri Lanka ke negara ini dan sindiket kedua pula mencari pasport tulen yang dijual oleh rakyat tempatan yang mempunyai wajah seiras warga Sri Lanka terbabit untuk diubah suai menjadi pasport mereka.
“Sekiranya tiada wajah yang seiras, barulah sindiket terbabit berjumpa sindiket ketiga bagi memproses pasport palsu untuk kegunaan warga Sri Lanka itu dan jika proses untuk menghasilkan pasport memakan masa, mereka akan berjumpa sindiket keempat untuk mendapatkan cop lanjutan menduduki palsu.
“Jika semua dokumen palsu telah siap, mereka akan menemui sindiket kelima yang bekerjasama dengan pegawai penguat kuasa bagi memudahkan urusan keluar dari negara ini di lapangan terbang,” katanya di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini mela­porkan kira-kira 10 warga asing keluar menggunakan pasport palsu di KLIA dan KLIA2 setiap hari sejak awal tahun ini. Lebih mengejutkan, lebih 30 orang lagi termasuk pegawai penguat kuasa sedang dalam pemerhatian kerana turut terlibat dalam kegiatan tersebut.
Kelmarin, dua pegawai imigre­sen antara 19 individu yang ditahan selepas didapati terlibat dalam sindiket penyeludupan manusia menggunakan pasport Malaysia pal­su melalui KLIA di sini.
Sumber itu memberitahu, setiap sindiket akan sentiasa bekerjasama dalam mencari ruang dan peluang bagi menjalankan kegiatan ini.