Search This Blog

Sunday, May 8, 2016

Lagi ATM dipecah, RM200,000 lesap dilarikan sekumpulan lelaki


07 Mei 2016 1:28 AM




KUALA LUMPUR 6 Mei – Lagi kes mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dipecah.
Kali ini, kira-kira RM200,000 lesap selepas sekumpulan lelaki memecahkan dua mesin ATM di dalam sebuah pasar raya besar di Taman Bukit Ampang dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, kesemua suspek dipercayai memecah masuk ke premis berkenaan melalui tandas lelaki yang terletak berhampiran mesin terbabit.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, sebaik sahaja masuk ke dalam premis itu melalui tandas, kesemua suspek memecahkan ATM menggunakan gas Oxy-acetylene sebelum melarikan wang tunai.
Menurut beliau, ketika kejadian tiada pengawal keselamatan di lokasi kejadian.
“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kita mendapati lebih daripada seorang suspek terlibat dan kesemua mereka memakai topeng muka.
“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti identiti kesemua suspek,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Mengulas lanjut, Hamzah memberitahu gerakan memburu kesemua suspek sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Pada 26 April lalu, sekumpulan penjenayah meletupkan sebuah mesin ATM di sebuah bank di Jitra, Kedah dan melarikan wang lebih RM300,000.
Kejadian itu turut menyebabkan salah sebuah dinding cermin di bahagian dalam bank berkenaan pecah berderai.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/lagi-atm-dipecah-rm200-000-lesap-dilarikan-sekumpulan-lelaki-1.319359#sthash.h0s04sZv.dpuf

No comments:

Post a Comment