Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, mangsa Lee Kon Fook, 46, sedang tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi hentaman pada pintu biliknya dipercayai ditendang suspek.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, mangsa yang gagal mela­rikan diri mengalami cedera parah dipercayai akibat ditetak dan ditikam bertubi-tubi oleh suspek.
“Seorang lagi suspek yang memegang pistol mengawasi penghuni bilik lain sebelum kesemuanya me­la­rikan diri meninggalkan mangsa.
“Mangsa telah dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) dengan bantuan orang awam dan disahkan maut akibat cedera parah ditetak di bahagian kepala di samping terdapat kesan kelar pada perut, lengan, lutut, bahu dan belakang badan selain tikaman di dada,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Muhamad Zaki, isteri mangsa yang mendapat maklumat Kon Fook disamun kemudian membuat laporan polis pada pukul 12 tengah hari semalam.
Ujarnya, hasil siasatan awal polis mendapati kejadian berkenaan tidak bermotifkan samun namun menjurus kepada dendam.
“Gerakan memburu suspek dijalankan dan hasil tindakan pantas, polis telah menahan dua suspek berumur 22 tahun di Mantin dan Batu 9, Cheras, Kuala Lumpur awal pagi ini.
“Beberapa telefon bimbit, sebuah kereta jenis Proton Persona, kad sim dan 210 pil erimin 5 dengan berat dianggarkan 57.9 gram turut dirampas,” katanya.
Tambah Muhamad Zaki, kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 301 Kanun Keseksaan.