Search This Blog

Loading...

Monday, May 9, 2016

Kebakaran di Kanada kian merebak


KEADAAN sebuah kenderaan dan kawasan kediaman yang musnah dalam kebakaran di satu kawasan kejiranan di bandar Fort McMurray, Alberta, Kanada. - AFP


FORT MCMURRAY, Kanada – Kebakaran hutan besar yang melanda Kanada telah menjadi dua kali ganda kelmarin dan pegawai memberi amaran bahawa situasi di kawasan tanah gersang di wilayah Alberta semakin berbahaya dan tidak menentu.
“Kebakaran yang berlaku kini di luar kawalan, keadaan semakin berbahaya,” kata Menteri Keselamatan Awam, Ralph Goodale mengenai kebakaran yang bersaiz lebih besar daripada kota London yang memaksa penduduk meninggalkan bandar ini.
Angin kuat menyebabkan kebakaran semakin marak ke tengah bandar minyak itu lewat kelmarin ketika hampir semua 25,000 penduduk yang masih terperangkap di utara akhirnya meninggalkan bandar Fort McMurray sama ada melalui pengangkutan udara atau konvoi di jalan raya.
Kebakaran hutan tersebut telah menjadi dua kali ganda dalam tempoh sehari, meliputi kawasan seluas 200,000 hektar menjelang tengah malam dan semakin mengganas, kata Agensi Pengurusan Bencana Alam Alberta dalam satu kenyataan kelmarin.
“Keadaan api masih besar dan ekstrem,” katanya.
Kadar kelembapan yang rendah, suhu yang tinggi hampir mencecah 30 darjah Celsius dan angin kencang selaju 40 kilometer sejam di dalam hutan dan daun-daun kering akibat kemarau selama dua bulan menjadi faktor api semakin marak serta sukar dipadamkan.
Bagaimanapun, dalam situasi berkenaan, pihak berkuasa memaklumkan tiada sebarang kematian direkodkan berhubung kebakaran yang telah pun berlaku sejak seminggu lalu.
Sementara itu, Pengarah Perkhidmatan Bomba Alberta, Chad Morrison berkata, hujan lebat diperlukan untuk mengawal kebakaran tersebut.
Kerajaan telah mengisytiharkan keadaan darurat di Alberta, sebuah wilayah yang bersaiz sebesar negara Perancis dan merupakan pusat pengeluaran industri minyak.
Hingga kini, lebih 1,400 anggota bomba, 133 buah helikopter, 200 kelengkapan berat dan lebih 27 pesawat pemadam kebakaran terlibat dalam operasi mengawal kebakaran di 43 kawasan berbeza di wilayah tersebut dengan tujuh daripadanya langsung tidak terkawal. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0509&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz486VoEDea 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment