Search This Blog

Tuesday, May 10, 2016

Kaki buli mati ditikam rakan




Beberapa anggota polis membawa suspek mencari pisau lipat yang digunakan oleh suspek (dua dari kiri) di Kawasan Perindustrian Arab Malaysian, Nilai semalam.


SEREMBAN – Gara-gara tidak tahan dibuli, seorang lelaki warga Vietnam berusia 28 tahun bertindak menikam rakan senegaranya dengan menggunakan sebilah pisau lipat dalam satu kejadian di sebuah kilang besi dekat Kawasan Perindustrian Arab Malaysian di Nilai dekat sini tengah hari kelmarin.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Jaafar Mohd. Yusof berkata, suspek berjaya ditangkap selepas empat jam menyerang Tran Try Ong Thien Lan, 42, hingga mati.
“Suspek ditahan polis kira-kira empat jam selepas kejadian di kawasan berdekatan kilang berkenaan. Dia (suspek) mendakwa beberapa kali dibuli oleh mangsa di hostel mereka.
“Oleh sebab tidak tahan, suspek bertindak menyerang mangsa sewaktu di kilang dengan menggunakan sebilah pisau lipat serbaguna,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini semalam.
Jaafar berkata, mangsa, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Nilai Medical Centre pada pukul 2.35 petang semalam.
Menurut beliau, ujian bedah siasat ke atas mayat mangsa mendapati tikaman pisau lipat itu tepat kena pada jantung mangsa.
Kata beliau, polis masih mencari senjata digunakan oleh suspek dalam kejadian tersebut yang dipercayai dibuang di kawasan semak berhampiran kilang berkenaan.
“Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini (semalam) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Siasatan lanjut berhubung dakwaan suspek menjadi mangsa buli sedang dilakukan memandangkan suspek tidak mahir berbahasa Melayu mahupun Inggeris.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0510&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz48CLaRiZe 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment