Timbalan Ketua Pengarah Operasi AADK, Izhar Abu Talib berkata, statistik menunjukkan 717 pelajar berusia lingkungan 13 hingga 18 tahun dikesan terjebak dengan gejala penyalahgunaan dadah tahun lepas berbanding 622 pelajar tahun 2014.
"Hasil operasi dan pemeriksaan ujian air kencing, sejak Januari hingga April tahun ini, kami mengesan 50 pelajar terlibat dengan dadah. Jumlah itu daripada sebahagian operasi dan pemeriksaan yang dijalankan dan saya percaya sekiranya digiatkan berkemungkinan pelajar yang dikesan terbabit dengan dadah meningkat kepada empat ke lima kali ganda.
"AADK bimbang dan khuatir kegiatan itu menjadi ancaman kepada golongan belia akan datang, jadi kita perlu tingkatkan lagi strategi bagi memerangi dadah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pendidikan Pencegahan Dadah dan Kerjaya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Murni, di sini hari ini.
Program sehari dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan itu diadakan bagi membentuk pembangunan sahsiah pelajar dalam membasmi najis dadah dengan melakukan aktiviti bermanfaat dan menyihatkan tubuh badan.
Izhar berkata, faktor utama kebanyakan pelajar terlibat dengan aktiviti dadah adalah kerana sifat ingin tahu dan terpengaruh dengan rakan sebaya yang telah mengambil bahan terlarang berkenaan. - BERNAMA