Difahamkan, semua lelaki berusia antara 22 hingga 42 tahun itu ditahan dalam tiga serbuan di sekitar daerah Melaka Tengah bermula kira-kira pukul 6 pagi.
Ketua Polis Melaka, Datuk Ramli Din berkata, tangkapan pertama melibatkan empat ahli kumpulan itu termasuk Muin yang berusia 24 tahun di tepi jalan di Taman Merdeka di sini kira-kira pukul 6 pagi.
“Sebaik sahaja polis mendekati untuk memeriksa pemandu kereta itu cuba memecut kenderaan namun berjaya ditahan. Hasil pemeriksaan, polis menemukan beberapa barangan berharga dipercayai hasil samun kumpulan tersebut.
“Polis kemudian menjalankan siasatan lanjut sebelum menahan sebuah lagi kereta dinaiki empat lelaki berhampiran kawasan tersebut kira-kira dua jam kemudian,” kata­nya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim dan Ketua Polis Daerah Melaka Te­ngah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah.
Menurut Ramli, tangkapan ketiga melibatkan tujuh ahli kumpulan itu di sebuah pangsapuri di Cheng kira-kira pukul 9 pagi dan hasil soal siasat, pihaknya berjaya menemukan beberapa senjata termasuk parang, pisau, pemotong besi, kuku kam­bing dan sarung tangan di dalam semak di kawasan Batu Berendam.
Ujarnya, polis merampas pelbagai barangan berharga antaranya beberapa unit komputer riba, jam tangan, telefon bimbit, kamera dan wang tunai lebih RM19,000 yang disembunyikan termasuk di sebuah rumah kedai di Taman Merdeka.
Jelasnya, kumpulan penjenayah tersebut dipercayai terlibat jenayah samun bersenjata di rumah seorang pegawai kerajaan berusia 48 tahun di Taman Pengkalan Jaya kira-kira pukul 3.30 pagi hari yang sama.
“Dalam kejadian itu, mangsa lelaki berada di rumah tersebut bersama isteri dan dua anaknya. Penjenayah telah mengikat lelaki tersebut dan isterinya sebelum melakukan samun bersenjatakan parang dan pisau sebelum melarikan diri bersama pelbagai barangan berharga yang dianggarkan bernilai kira-kira RM41,000,” katanya.
Mengulas lanjut, Ramli berkata, siasatan awal polis mendapati Geng Rantau Muin dipercayai bergiat aktif dalam jenayah samun sejak awal tahun ini, terlibat dengan 13 kes samun bersenjata di sekitar negeri itu.
melibatkan nilai kerugian kira-kira RM80,000.
Beliau berkata, 10 daripada 15 penjenayah tersebut yang bekerja sebagai pekerja kontrak itu tidak memiliki dokumen perjalanan direman selama tujuh hari bermula semalam dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dan bersenjata.
Katanya, polis sedang menyiapkan kertas siasatan dan mengesan saki-baki ahli kumpulan itu yang berkemungkinan masih bebas.
“Modus operandi kumpulan ini ialah memecah masuk rumah mangsa dan mengikat mereka serta mengugut dengan senjata tajam seperti pisau dan parang agar mangsa menyerahkan barangan berharga,” katanya.